Jalan Pulang paparkan realiti kehidupan mualaf

Jalan Pulang paparkan realiti kehidupan mualaf

Mohd Suhaimi (tengah) bersama barisan pelakon drama pendek, Jalan Pulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik penghijrahan memeluk Islam, saudara baharu berdepan pelbagai ujian yang memerlukan kekuatan diri, selain sokongan masyarakat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Realiti itu menjadi inti pati drama pendek bersiri Jalan Pulang yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Datuk Keramat dengan kerjasama Masterpeace Entertainment.

Mengangkat kisah benar perjalanan saudara baharu, drama berkenaan bukan sekadar mengetengahkan penghijrahan memeluk Islam, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami cabaran yang dilalui golongan mualaf sebelum dan selepas bergelar Muslim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Mohd Suhaimi Abdul Aziz berkata, penerbitan drama itu merupakan pendekatan dakwah kreatif untuk mendekatkan masyarakat dengan realiti kehidupan saudara baharu menerusi medium seni.

Menurutnya, hampir keseluruhan barisan pelakon yang menjayakan drama berkenaan terdiri daripada mualaf, sekali gus memberi peluang kepada pengalaman serta perjalanan hidup mereka diketengahkan menerusi lakonan.

“PERKIM meletakkan saudara baharu sebagai keutamaan untuk disantuni, diberikan kebajikan, perlindungan dan sebagainya.

“Kita mahu masyarakat tahu bahawa mereka mempunyai seribu satu masalah sebelum dan semasa memeluk Islam. Jadi, kita perlu menyelami kehidupan mereka, memahami masalah yang dihadapi dan berusaha membantu menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran treler drama pendek Jalan Pulang dan muzik video lagu tema asal (OST), Terus Yakin, di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai jalan cerita, Mohd Suhaimi berkata, drama itu menggabungkan beberapa pengalaman sebenar saudara baharu yang diolah menjadi sebuah naratif bagi menggambarkan kepelbagaian cabaran yang dihadapi golongan berkenaan.

Menerusi watak utama, penonton dibawa memahami perjalanan mualaf yang perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu, selain berhadapan pelbagai kesukaran dalam proses mendalami Islam.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya membiarkan saudara baharu menghadapi cabaran itu sendirian, sebaliknya perlu memberikan kepercayaan, kasih sayang dan bimbingan agar mereka tidak berasa terpinggir.

“Pada peringkat awal, kebanyakan mereka masih kosong dari segi pengetahuan Islam dan tidak mempunyai banyak perkara untuk dijadikan tempat berpaut.

“Mereka memerlukan masyarakat untuk memberikan secebis harapan, peluang dan sokongan supaya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Jalan Pulang dan lagu tema Terus Yakin dapat menyentuh hati penonton serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memberikan sokongan berterusan kepada saudara baharu.

Usaha itu juga diharap dapat menyuntik semangat kepada golongan mualaf untuk terus tabah dan istiqamah mendalami Islam meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan.

Drama pendek bersiri berkenaan kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube PERKIM Cawangan Datuk Keramat, manakala episod pertamanya boleh diakses menerusi pautan https://youtu.be/Pj4YGVGXaMc.

Kerjasama dengan pihak produksi itu merupakan sebahagian daripada usaha PERKIM Cawangan Datuk Keramat memperluas penyampaian dakwah melalui seni dan media digital, sekali gus membawa mesej Islam yang berteraskan rahmah kepada masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini