PRU15: Semua parti sudah bersedia

PRU15: Semua parti sudah bersedia

DI bawah kepimpinan Ismail Sabri Yaakob, kerajaan memperkenalkan dasar-dasar berkaitan kebajikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40). – FB ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO telah memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10. Menyandang jawatan Perdana Menter sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskannya, Ismail Sabri juga merupakan Naib Presiden UMNO.

Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala Pakatan Harapan ( PH) dijangka mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan Perdana Menteri.

Pencalonan nama lebih awal untuk jawatan Perdana Menteri ini jelas menunjukkan bahawa parti-parti politik utama dalam negara sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangkakan pada bila-bila masa sahaja selepas Julai ini. Bahkan senario terbaru ini juga menunjukkan kedudukan dalam parti-parti tersebut adalah stabil dan tidak timbul sebarang spekulasi perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin-pemimpin utama untuk jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Namun demikian, kita perlu tahu bahawa politik adalah sesuatu yang dinamik, yakni boleh berubah dari semasa ke semasa mengikut persekitaran dan perkembangan.

Sebagai contoh, kita lihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di mana calon Menteri Besar yang diumumkan oleh kepimpinan UMNO, iaitu Datuk Seri Hasni Mohammad, akhirnya tidak dapat dilantik apabila Barisan Nasional (BN) menguasai kerusi majoriti.

Berhubung pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, parti-parti komponen BN seperti MIC dan MCA menerimanya dengan baik. Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menyuarakan sokongan beliau dan partinya secara terbuka terhadap pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-10 mewakili BN pada PRU15.

Sebahagian besar rakyat marhaen juga menerima baik pencalonan Ismail Sabri sebagai bakal Perdana Menteri atas kecemerlangan prestasi beliau sejak memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Dalam keadaan politik yang tidak stabil, beliau berjaya mengurus ekonomi negara dan membela kebajikan rakyat yang terkesan akibat Covid-19. Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan mengambil langkah-langkah progresif dan menunjukkan keprihatinan dalam memutuskan dasar-dasar berkaitan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40). Tindakan beliau meluluskan pengeluaran khas RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar golongan tersebut mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

AIDILFITRI

Meskipun negara menghadapi masalah kewangan kesan kemerosotan ekonomi yang terhimpit akibat pandemik Covid-19, kerajaan kepimpinan beliau sanggup menghulurkan bantuan khas kepada penjawat awam dan bersara sempena Hari Raya Aidilfitri. Bahkan beliau menunjukkan kredibiliti dalam memantapkan sistem demokrasi serta integriti politik dengan penguatkuasaan kelayakan mengundi 18 tahun (Undi18) dan menyusul pindaan perlembagaan dalam menangani isu lompat parti sebagai menepati janji dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan parti pembangkang.

Keadaan dalam negara juga didapati semakin pulih seperti sediakala dengan pengoperasian semula sekolah dan tempat beribadat. Pendek kata, kepimpinan Ismail Sabri berjaya membantu negara kembali kepada keadaan yang normal dan rakyat pula rasa lega.

Dalam pada itu, populariti Muhiyidin dilaporkan semakin merosot dalam kalangan rakyat yang tergambar jelas semasa kekalahan partinya pada PRN Melaka dan Johor. Bahkan kekalahan teruk Bersatu dalam PRN Johor jelas mencerminkan kemerosotan pengaruh Muhyiddin kerana Johor adalah negeri yang dianggap sebagai kubu kuat beliau.

Populariti Anwar yang juga Pengerusi Gabungan PH didapati semakin merosot dalam kalangan rakyat kerana mengalami kekalahan teruk di PRN Melaka dan Johor. Ramai yang mendakwa PKR yang berteraskan agenda reformasi hampir hilang signifikannya dalam medan politik.

Dalam konteks politik di Semenanjung, sokongan parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak didapati lebih mencondong kepada kepimpinan Ismail Sabri berbanding pemimpin-pemimpin lain. Apatah lagi, parti-parti dari Sarawak menyokong kuat pencalonan Ismail Sabri berbanding Anwar semasa pencalonan bagi jawatan Perdana Menteri kesembilan apabila Muhyiddin meletakkan jawatan.

Secara umumnya, presiden parti yang menguasai dan mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen akan dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, Ismail Sabri yang hanya merupakan Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dalam suasana politik luar biasa.

Persoalannya, apakah Ismail Sabri masih akan dilantik sebagai Perdana Menteri dengan mengetepikan tradisi pelantikan sebelum ini? Apakah pencalonan Ismail Sabri, seorang pemimpin UMNO yang tidak tercemar dengan sebarang kes rasuah di mahkamah, sebagai poster boy merupakan satu strategi politik untuk mempengaruhi sentimen dan persepsi rakyat dalam usaha meraih sokongan bagi UMNO/BN pada PRU15?

Apa pun, pencalonan Naib Presiden sebuah parti bagi jawatan Perdana Menteri pada kali ini akan mencipta satu norma baharu dalam budaya politik negara. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×