Inilah politik! - Utusan Malaysia

Inilah politik!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM perjuangan politik memang mudah tersua ungkapan-ungkapan hebat laksana menggegarkan jiwa. Lantas meraih sokongan.
Dalam keghairahan untuk menang pilihan raya, janji perjuangan menjadi asas dan landasan kepada sesuatu parti politik.
Sedangkan rakyat masih merasai kos barangan harian seperti makanan. Keperluan harian masih bersifat menghimpit kehidupan. Arenanya ialah di kedai runcit, pasar runcit dan pasar borong. Pihak berkuasa tampak sehingga hari ini buntu menyelesaikan.
Pernah rakyat dapati sistem ‘subsidi petrol bersasar’ tidak membantu kerana jarak harga dulu dan kini tidak dirasai. Jarak harga disel dan petrol dikatakan tidak realistik.
Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu ‘duit di tangan dapat beli keperluan hidup’.
Rakyat mahukan kesejahteraan ekonomi, pendidikan dan sosio-politik yang harmonis. Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tentunya tidak mahu hak-hak perlembagaan mereka disentuh dan disusutkan. Masyarakat Cina dan India pula mahu hak mereka sebagai rakyat diambil kira dalam penggubalan dasar-dasar utama.
Mengadun ini semua perlukan seni dan keupayaan memerintah dan mentadbir.
Kalau ditinjau senario satu dua insiden semasa kempen pilihan raya Johor yang baru berlalu, barangkali boleh dijadikan iktibar dan pedoman.

INSIDEN

Dulu berlapik, sekarang terbuka
Semasa PRN Melaka dan Sarawak tempoh hari, ada pemimpin Pusat khususnya menteri berlapik jika media minta respons perkembangan politik semasa.
Tapi di Johor sudah terbuka. Tak sorok-sorok lagi. Mengkritik ‘sesama sendiri’ biarpun dalam ‘kerajaan yang sama’. Berantakan ibarat pasangan baru bercerai. Tidur sebantal, mimpi lain-lain?

Dulu cuak, kini berani
Dulu ketika PRN Melaka, ada pemimpin kanan parti cukup risau turun berkempen. Kalau ada pun sekadar tunjuk muka. Tidak ketahuan pihak media.
Tapi di Johor, bukan sekali sekala sahaja turun padang. Tapi siap berkampung lagi. Khususnya kalangan ahli parlimen termasuk pak menterinya. Pelawa media lagi untuk buat liputan.
Sehingga ditegur Yang Dipertua Dewan kerana ada ahli parlimen ponteng sesi Parlimen.

Berani sarung vest parti
Waktu kempen PRN yang lepas, ada sanggup ketepi pakai vest parti kerana bimbang singgung perasaan rakan Kabinet berlainan parti. Tapi tidak pula di Johor.
Berkempen ke segenap kawasan Johor tanpa gusar, ragu. Pakai topi dan baju parti, ‘tampar terus’ parti ‘dalam kerajaan’. Asalkan dapat meraih kemenangan.
Adakah tiga senario tadi mencetuskan rasa cuak, khuatir ‘keadaan dalam kerajaan akan kembalikah ke sedia kala’ esok, Isnin 14 Mac? Dan Rabu ini semasa mesyuarat Kabinet. Serta sepanjang Perhimpunan Agung UMNO dari 16 hingga 19 Mac ini?

KUASA ATAU TANGGUNGJAWAB?

Mengikut Machiavelli, pemikir politik Itali abad ke-16, segalanya harus diperalat termasuk agama untuk menjayakan matlamat menghalalkan cara. Machiavelli mengambil contoh dari Numa Pompilius yang memimpin Rom dengan menjinakkan sebuah masyarakat yang ganas dengan cara yang harmoni.
Pompilius memakai agama sebagai ‘tunjang paling perlu bagi setiap masyarakat yang beradab’.
Namun kepada Machiavelli, dorongan pertamanya bukanlah agama. Tidak juga untuk mendekatkan diri kepada kebaikan, melainkan semata-mata dorongan politik. Nilai-nilai yang dianjurkan Tuhan katanya tidak penting.
Tidak hairanlah bila pengagum Machiavelli menyebutnya sebagai irrisor et atheos: “seorang ateis yang membawa satira dalam falsafahnya tentang kuasa.
Masihkah politik Malaysia hari ini menyaksikan saranan Machiavelli, dengan ‘insiden 1987, 1998, 2008, 2018 diulangi dalam 2022 ini?
Suatu ketika Mahatma Gandhi mengetengahkan tindak balas kepada Machiavelli bahawa ‘matlamat dan kaedah adalah perkara sama’.
Gandhi percaya jika seseorang itu menggunakan kaedah salah untuk mencapai matlamat, ia akan mencetuskan tindak balas salah. Jika guna kekerasan, maka kekerasan akan berulang.
Justeru konon Machiavelli adalah pencetus kepada ‘gagasan sains politik moden’ tidak boleh dipakai oleh umat manusia.
Begitupun Machiavelli tidak salah. Dia membongkar apa yang nyata dalam kehidupan politik bahawa – keunggulan ditentukan tafsirannya oleh siapa di dunia ini menang atau ingin menang.
Cuma kita masih boleh menunjukkan Machiavelli tidaklah sempurna: Hidup di dunia tidak hanya bersandarkan kuasa semata-mata. Pengalaman menunjukkan kehidupan juga mempunyai momen yang unggul.
Walaupun bertunjangkan kuasa, harus diselitkan tanggungjawab untuk berlaku adil.
Iaitu kepada rakyat agar tidak terjadi dek penangan ‘gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah’.

Penulis adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN