PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan terhadap pelaburan i-Serve melibatkan pengasas bersama syarikat penerbangan MyAirline.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, siasatan terhadap pelaburan tersebut belum selesai.
“Kita masih mengenal pasti aliran wang dipercayai digunakan hasil pelaburan membabitkan syarikat berkaitan individu berkaitan.
“Proses mengambil masa, justeru kertas siasatan belum dilengkapkan berkaitan siasatan pelaburan i-Serve,” katanya ketika dihubungi semalam.
Siasatan terhadap i-Serve dan rangkaian syarikat di bawahnya bermula pada 17 Oktober lalu apabila pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah bergelar Datuk itu ditahan bersama isteri dan anaknya di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.
Pada 20 November lalu, Ramli dilaporkan berkata, polis menerima sebanyak 115 laporan dengan kerugian RM118.6 juta membabitkan syarikat pelaburan i-Serve.
Dalam pada itu, Ramli berkata, polis masih mengambil keterangan bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng bagi mengesan aset dipercayai diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Kita masih menjalankan siasatan dan mengambil keterangan-keterangan berkaitan.Sekiranya telah selesai, kita akan umumkan hasil siasatan nanti,” ujarnya.
November lalu, Ramli mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti aset-aset yang dimiliki Roger atau nama sebenarnya Roger Ng Chong Hwa yang disita oleh Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, siasatan pihaknya kini menjurus kepada proses kenal pasti sama ada terdapat aset-aset hasil dana 1MDB yang diseleweng lelaki berusia 51 tahun itu dalam pemilikan individu lain.
Oktober lalu, PDRM memulakan siasatan terhadap Roger selepas diperintahkan oleh Mahkamah AS untuk menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS sebelum diserahkan kepada Malaysia untuk menghadapi perbicaraan di negara ini.
Siasatan terhadap Roger tertumpu kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA). – UTUSAN










