PDRM mula siasat Roger Ng

PDRM mula siasat Roger Ng

ROGER NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendahului siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum agensi penguatkuasa lain menyiasat sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low itu.

Kepulangan Roger ke negara ini sekali gus membolehkan pihak berkuasa Malaysia melakukan siasatan seterusnya terhadap kes penyelewengan 1MDB selepas bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan ditahan PDRM pada Julai lalu sebelum aset RM93.2 juta miliknya disita.

Difahamkan, lebih 10 individu termasuk dalang utama kes 1MDB iaitu Jho Low masih diburu pihak berkuasa ketika ini.

RAZARUDIN HUSAIN

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan PDRM kini adalah memfokuskan usaha mengesan dan mendapatkan kembali aset-aset berkaitan 1MDB yang ‘digelapkan’ oleh Roger.

Kata beliau, keterangan Roger diperlukan bagi memperincikan aset-aset itu yang dipercayai berada di dalam dan luar negara bagi melengkapkan siasatan.

“Kita (polis) akan mulakan dengan melakukan asset recovery membabitkan dana 1MDB. Tempoh berapa lama Roger berada dengan pihak kita (polis) dan di negara ini bergantung kepada proses siasatan,” katanya di sini semalam.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, beberapa agensi penguatkuasa Malaysia menunggu kepulangan Roger yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Amerika Syarikat (AS) untuk melengkapkan siasatan masing-masing membabitkan skandal 1MDB.

Antara agensi dijangka memerlukan maklumat atau menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Terdahulu mengikut laporan di New York, Roger yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana membantu menggelapkan berbilion ringgit kekayaan dana 1MDB akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan tuduhan di negara ini.

Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn mengarahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS semalam supaya dia boleh diserahkan kepada penguatkuasa undang-undang Malaysia.

Sebelum diserahkan kepada Malaysia, pendakwa dalam satu surat awal kepada Brodie berkata, Roger dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara dan perkara itu turut dipersetujui peguam Roger.

Brodie menjatuhkan hukuman kepada Roger pada Mac lalu, iaitu 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Hukuman terhadap Leissner ditangguh sehingga 19 Mac 2024. Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 billion (RM12.98 billion) dan unitnya di Malaysia selepas mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Roger ditahan di Malaysia pada November 2018 sebelum diekstradisi ke AS pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan yang dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berhubung skandal 1MDB.

Pertuduhan itu termasuk Goldman membantu 1MDB meraih AS6.5 bilion (RM27.4 billion) menerusi tiga jualan bon, namun AS$4.5 billion (RM18.9 billion) daripadanya dialihkan kepada pegawai kerajaan, pengurus bank dan sekutunya menerusi rasuah dan sogokan antara 2009 hingga 2015.

Roger disabitkan bersalah pada April tahun lalu kerana didapati bersubahat dengan bekas majikannya di Goldman, Tim Leissner dan Jho Low dalam penyelewengan skandal 1MDB. Sehingga kini Jho Low masih diburu dan keberadaan tidak diketahui walaupun banyak mendakwa lelaki itu bersembunyi di China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN