Bertanding untuk bawa kemajuan - Ustaz Ridzwan

[Lima soalan] Bertanding untuk bawa kemajuan – Ustaz Ridzwan

RIDZWAN ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIDAK hanya dikenali kerana sering berdakwah ketika berceramah, nama RIDZWAN ABU BAKAR atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ridzwan sering menjadi sebutan kerana kelantangan menyanggah perbuatan yang dianggap memutar belit atau ‘menunggang’ agama di pentas politik.

Masih diingati ketika masih bersama Pas apabila beliau naik ke pentas muktamar dan mempertikai individu yang didakwanya menghentam pihak-pihak lain melalui doa. Ridzwan kali ini diamanahkan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang.

Mengakui tanggungjawab yang dianggap berat kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RAFIE AZIMI, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) itu tetap mahu melaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan PH dan Barisan Nasional (BN) mampu menawan Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kali pertama diberikan tanggungjawab untuk bertanding, apa dalam fikiran?

Berat rasanya, namun pada masa sama saya rasa sangat dihargai atas segala usaha dicurahkan sejak awal penubuhan Amanah. Saya berterima kasih atas kepercayaan diberikan.

Bagaimana melihat persaingan melibatkan dua gabungan besar dalam menghadapi PRN kali ini?

Dalam konteks kita menghadapi PRN, yang sepatutnya diberi penekanan adalah gagasan besar tentang sesebuah negeri termasuk tawaran pembangunan serta kelestarian masa depan, bukannya bercakap tentang orang lain kerana tiada manusia yang sempurna. Bagi saya sendiri, tumpuannya adalah untuk mengepung undi sedia ada untuk PH dan BN diikuti langkah tertentu mendekati anak muda dalam kawasan Kuala Nerang.

Pandangan mengenai aura Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dikatakan sangat gah dan mampu mempengaruhi pola pengundian?

Sejak turun ke lapangan, saya lihat ada keseimbangan dalam perkara itu. Apabila disebut tentang kehebatan Sanusi, tidaklah beliau diangkat semua orang sebagai ikon sebaliknya hanya dilihat hebat dalam kalangan penyokong mereka. Dalam kalangan orang awam, masih ramai yang tertanya-tanya perkara itu sebab itu saya sering katakan antara perkara paling bermasalah dalam Pas adalah doktrin berkaitan perkara tertentu. Kalau pusing ikut mana pun, tetap dikatakan pemimpin mereka benar dan betul walau apa saja dilakukan.

Apa peluang yang ada kerana ustaz bertanding di DUN yang terletak dalam Parlimen Padang Terap, iaitu kawasan yang menyaksikan penyandangnya tewas PRU-15?

Dalam PRU15, saya lihat ada beberapa faktor yang menyebabkan Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas dengan kesemuanya adalah isu nasional dan bukannya peribadi. Pada masa itu wujud gelombang atau sentimen Melayu dan Islam yang ditokok tambah dengan pelbagai gambaran hingga menyebabkan PH serta BN terkena tempiasnya.

Tetapi hari ini rakyat dapat melihat sendiri keadaan negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN). Tidak banyak kemajuan dibawa melainkan bantuan rutin kepada golongan susah, yang memang akan diteruskan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan sekali pun. Tiada idea besar yang dibawa Pas. Jadi saya fikir keadaan kini sudah berbeza.

Perkara tumpuan untuk Kuala Nerang sekiranya diberikan mandat menjadi wakil rakyat?

Di Kuala Nerang ada pusat pendidikan dan pembangunan pelajaran yang dibawa Mahdzir sewaktu menjadi Ahli Parlimen di sini dulu. Saya fikir tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menjadikan kawasan ini sebagai anjung pendidikan di kawasan utara semenanjung.

Keduanya kita harus memberi tumpuan kepada sektor pelancongan. Kita memiliki pintu sempadan di Durian Burung yang terletak dalam DUN Kuala Nerang dan kita harus memikirkan bagaimana mahu urus serta tingkatkan kemasukan pelancong melaluinya agar penduduk di sini turut menerima manfaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN