PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merujuk kertas siasatan berhubung dakwaan klip video fitnah melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusof kepada Pejabat Peguam Negara, hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis telah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kita juga memanggil semula ‘Mr. H’ hari ini (semalam) bagi tujuan rakaman percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Razarudin, tiada keperluan mendedahkan identiti ‘Mr. H’ memandangkan siasatan masih lagi dijalankan.
“Pendedahan identiti ‘Mr. H ‘dikhuatiri mengganggu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, tampil di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk membuat laporan serta memberi keterangan kepada polis.
Pada 17 November lalu, tular rakaman video berdurasi tiga minit didakwa mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki dikatakan Abdul Wahab.
Susulan itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam sidang akhbar khas berhubung isu itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama ‘Mr. H’.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam perkembangan lain berkaitan kes gangguan seksual membabitkan ketua pengarah agensi penguat kuasa, Razarudin berkata, pihaknya telah memanggil lima saksi bagi dirakam percakapan kes tersebut. – UTUSAN










