Siapa layak terajui pendidikan? - Utusan Malaysia

Siapa layak terajui pendidikan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH selesai mengangkat sumpah dan sah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada petang Sabtu lalu, perkara yang menjadi tanda tanya dan dinanti-nantikan adalah barisan Kabinet yang bakal dibentuk oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Siapa yang bakal dilantik sebagai menteri di kementerian tertentu dan siapa bakal timbalan perdana menteri?

Sebagai seorang warga pendidik di institusi pengajian tinggi, saya lebih tertumpu kepada apakah yang bakal berlaku terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Adakah dua kementerian ini terus berpisah sebagaimana semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin atau bergabung semula seperti semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad? Siapakah Yang Berhormat yang akan dilantik sebagai menteri di kementerian ini?

Ini dua persoalan yang bagi saya sangat penting. Pertama, KPM dan KPT wajarkah digabungkan atau dipisahkan? Kedua (andainya dipisahkan), siapakah yang patut menjadi Menteri Pengajian Tinggi? Apakah falsafah dan tahap ilmu seseorang yang perlu ada bagi mengendalikan KPT dengan berkesan?

Saya berpendapat ada baiknya kedua-duanya digabungkan sebagai satu kementerian sahaja. Persoalan pendidikan tidak harus dipisahkan dalam dua kementerian kerana pendidikan adalah satu proses berterusan. Ia bermula dari peringkat rendah dan terus berkembang ke peringkat menengah dan tinggi, universiti.

Dasar di peringkat tinggi tidak hanya berasaskan apa yang berlaku di peringkat itu. Ia berkait rapat dengan peringkat sebelumnya (rendah dan menengah). Sebagai contoh mudah, kelemahan mahasiswa menguasai bahasa Inggeris di peringkat universiti tidak harus dipersalahkan dan digubal dasar di peringkat universiti.

Tiga atau empat tahun di universiti adalah tempoh pengkhususan disiplin akademik tertentu dengan seseorang yang memenuhi sifat-sifat yang telah dibina semasa lebih 10 tahun di peringkat rendah dan menengah. Kalau berlaku kelemahan dan mutu graduan yang tidak sepatutnya, ia tidak boleh dibaiki hanya dalam masa tiga tahun pengajian di universiti.

Persoalan kedua, siapa yang patut menjadi menteri atau timbalan menteri? Universiti itu berdiri bukan kerana bangunannya yang megah dan fizikal dewan canselornya serta bukan kenyataan zahirnya. Inti utama universiti adalah falsafah pensyarah dan profesor serta mahasiswa di dalamnya.

Dua persoalan ini mesti menjadi teras dalam membina kemajuan sesebuah universiti dan kemajuan pengajian tinggi negara. Seorang menteri pengajian tinggi mesti benar-benar memahami dan memberi fokus kepada dua persoalan ini. Persoalan lain adalah bersifat proses dan tidak sepenting persoalan asas ini.

Cemerlang atau tidaknya sesebuah universiti banyak bergantung kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada pada para pensyarahnya. Sekiranya ilmu yang ada pada mereka tidak betul-betul matang serta mendalam dan berpengalaman, maka proses pembinaan ilmu dan kemajuan sesebuah universiti tidak akan cemerlang.

POLISI

Semua persoalan bagi membentuk tahap pensyarah yang cukup syarat kecemerlangannya hendaklah diambil berat oleh naib canselor, pentadbiran universiti dan menteri berkaitan. Semua penggubalan dasar mestilah sesuai dengan matlamat asas universiti dan keperluan asas pensyarah.

Semua dasar bersifat proses yang tidak bersifat kepada membina tingginya martabat ilmu bagi seseorang pensyarah harus diketepikan. Di sini pentingnya peranan menteri pendidikan. Polisi top-down amat berkesan pelaksanaannya dalam konteks negara ini. Andainya sesuatu dasar itu tidak tepat, para pensyarah dan pentadbiran universiti biasanya tetap patuh dan akur walaupun ia difikirkan tidak begitu sesuai sebagai seorang pensyarah dan pembinaan ilmu yang sebenar.

Tugas-tugas bersifat perkeranian yang diminta dilakukan pensyarah akan memalapkan kecemerlangan akademik mereka. Pelantikan seseorang pensyarah ke jawatan profesor separuh masak seterusnya kepada jawatan profesor dan kemudian memegang jawatan utama pentadbiran universiti juga memberi kesan buruk kepada kemajuan pengajian tinggi dan tamadun bangsa.

Di pihak mahasiswa, mereka yang dipilih masuk sepatutnya mempunyai kelayakan asas yang benar-benar memadai serta minat tinggi serta sanggup menerima tugas sebagai seorang mahasiswa, bukan berdasarkan kuota tertentu. Jumlah mahasiswa yang ramai tetapi tidak benar-benar layak akan memberi kesan negatif kepada proses pengajaran universiti, juga nilai sebenar graduan apabila keluar nanti. Jumlah yang sesuai serta kualiti bagi pengambilan mahasiswa perlu difikirkan sedalam-dalamnya, bukan hanya kuantiti sahaja.

Persoalan di atas bukan mudah bagi seseorang yang tidak betul-betul memahami sifat dan matlamat sebenar pengajian tinggi. Saya melihat pemilihan yang benar-benar tepat adalah sangat perlu bagi pelantikan seorang menteri pengajian tinggi. Ia bukan hanya sekadar lantikan biasa yang boleh ditukar ganti oleh sesiapa. Menteri pengajian tinggi bukan hanya sekadar membuat pembaharuan dan memperkenalkan dasar baharu apabila mengambil alih tugas sebagai menteri.

Pembaharuan dan dasar baharu tidak semestinya baik dalam semua keadaan tetapi pemantapan dasar lama sedia ada kadang-kadang akan lebih membawa makna dan erti lebih besar daripada pembaharuan gelojoh tanpa arah tepat dan matlamat jelas serta selaras dengan falsafah pengajian tinggi. Pemilihan seorang menteri pengajian tinggi yang tepat adalah perlu dan penting bagi membina kecemerlangan pengajian tinggi menghala arah tuju serta mantap falsafahnya.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah. Pernah menjadi profesor pelawat di International University of Balkan, Skopje, Macedonia dan pernah mengajar di International University of Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×