Senyuman ‘senget’ Nobita pikat hati Andy, isteri

Senyuman ‘senget’ Nobita pikat hati Andy, isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Senyuman senget Nobita menjadi antara keunikan kucing itu yang menarik perhatian ramai.

Kucing jantan baka kacukan Maine Coon dan Parsi berusia empat tahun itu juga gemar bermain air, termasuk mencelupkan kaki ke dalam pet water fountain.

Pemiliknya, Andy Chen Weng Kheong atau Adam Chen Abdullah, 54, berkata, wajah Nobita sudah kelihatan manis seperti sedang tersenyum sejak kecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak kecil, saya sudah perasan mukanya manis sahaja seperti tersenyum,” katanya kepada Seri.

Nobita merupakan anak kepada pasangan kucing Purin dan Jlo yang dihadiahkan oleh sahabatnya pada hari lahirnya.

Menurutnya, kedua-dua kucing itu kemudian mempunyai 12 ekor anak dalam dua kelahiran.

Dalam kelahiran kedua, Purin melahirkan lima ekor anak yang dinamakan Doraemon, Nobita, Suneo, Giant dan Shizuka, sempena watak dalam animasi Doraemon.

Antara lima beradik itu, Nobita disifatkan sebagai kucing paling baik dan manja serta tidak suka bergaduh.

“Nobita merupakan kucing yang paling baik antara semua adik-beradiknya.

“Paling manja dan tidak pernah bergaduh, sejenis pendiam, baik dan mendengar kata berbanding adik-beradik lain yang nakal,” katanya.

Senyum tanpa dicuit
Andy dan ahli keluarganya terkejut apabila menyedari Nobita boleh menunjukkan ekspresi senyuman senget, sesuatu yang tidak disangka oleh mereka untuk dilihat pada kucing.

Kebiasaannya, dia dan isteri akan berpura-pura mahu mencuit bahagian tepi mulut Nobita sebelum kucing itu menunjukkan senyumannya.

Bagaimanapun, satu kejadian pada 30 September lalu menjadi kenangan paling manis buat mereka apabila Nobita tersenyum sendiri tanpa dicuit.

Sekitar pukul 7 pagi, Nobita masuk ke dalam bilik dan duduk di satu sudut ketika pasangan berkenaan bersiap untuk pergi bekerja.

Nobita kemudian tiba-tiba tersenyum ke arah mereka lantas Andy dan isterinya segera mencapai telefon untuk merakam momen tersebut.

“Dia tiba-tiba senyum ke arah tanpa dicuit mulut. Senyuman paling manis seperti manusia.

“Kami cepat-cepat ambil telefon untuk merakam, tetapi dapat sedikit sahaja momen senyuman itu.

“Bagaimanapun, ia akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila” ujarnya.

Selain itu, katanya, Nobita juga kadangkala kelihatan seperti memahami apabila mereka bercakap dengannya dan memintanya tersenyum.

 

Suka ikut masuk bilik
Setiap kali Andy pulang ke rumah, Nobita lazimnya mengikut langkahnya masuk ke bilik.

“Ia berdiri di atas kerusi di hadapan pintu bilik sambil mengiau sebagai tanda mahu masuk,” katanya.

Selain itu, Nobita juga suka merenung wajah pemiliknya dalam tempoh lama.

Renungan Nobita kadangkala membuatkan mereka berasa sedikit seram.

Lama-kelamaan mereka sudah terbiasa dengan tabiat kucing itu.

 

Suka main air
Nobita turut dikenali dengan tabiat suka bermain air sejak kecil lagi.

Kucing itu suka menguis air pada pet water fountain sehingga menyebabkan rumah banjir.

Gelagatnya itu turut dikongsikan di TikTok sehingga digelar ‘Nobita si celup-celup air’.

Selain itu, Nobita juga gemar bermain air di dalam baldi ketika di bilik air.

“Pada mulanya saya pelik melihat tabiat itu, tetapi lama-kelamaan menganggap Nobita seperti membersihkan tangannya sebelum minum,” ujarnya.

 

Diet booster ayam
Booster ayam yang dikeringkan menjadi makanan kegemaran Nobita, berbeza dengan makanan basah dan snek yang mengandungi minyak salmon yang tidak disukainya.

“Apa sahaja yang ada minyak salmon, tidak akan dimakannya.

“Ia paling suka makan booster ayam yang telah dikeringkan.

“Sebab itu Nobita paling besar antara semua dengan berat kira-kira tujuh kilogram,” katanya.

Selain itu, Nobita juga mempunyai permainan kegemaran, iaitu mainan bulu ayam yang dilengkapi loceng.

Ketika bermain dengan mainan itu, Nobita akan berlari ke sana sini sambil melompat dan menendang bulu ayam berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini