BUKIT KATIL: Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Ridzuan Mohd. Shariff daripada Pas tiba di pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Tun Ali, pada pukul 8.45 pagi tadi.
Ketibaan beliau diiringi puluhan penyokong daripada PN dan Barisan Nasional (BN), sekali gus memperlihatkan sokongan kedua-dua gabungan itu susulan persefahaman politik yang dimeterai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Turut kelihatan mengiringi calon berkenaan ialah pemimpin Pas, Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Kehadiran penyokong kedua-dua gabungan itu turut mencuri perhatian ketika proses penamaan calon berlangsung, khususnya apabila kerusi Bukit Katil antara kawasan yang menyaksikan PN mempertaruhkan calon Pas untuk berdepan Pakatan Harapan (PH).
Mohd. Ridzuan bakal berdepan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, selain calon Parti Bersama, Aliza Che Amran yang turut tiba bersama penyokongnya. -UTUSAN











