Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Rabu lalu supaya kurniaan darjah, bintang kebesaran serta pingat negeri bagi pegawai kerajaan dan ahli politik yang didapati melakukan rasuah akan ditarik balik, amat dialu-alukan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila mengetahui beberapa pegawai kerajaan di negeri itu terlibat dengan kegiatan rasuah, baru-baru ini.
“Baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
“Kegiatan rasuah boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri ini,” katanya.
Ini membuktikan keprihatinan dan ketegasan baginda membanteras rasuah. Sekali gus, bertepatan dengan kedudukan baginda sebagai ketua agama Islam di Selangor.
Terkini, Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan dua lagi individu iaitu seorang pegawai daerah dan seorang juruukur bahan direman selama lima hari bermula 24 Julai lalu.
Ia susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor dan seorang kontraktor, Jumaat lalu yang disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.
Pada 27 Mei lalu pula, dua kakitangan termasuk seorang pegawai Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM69,892, lapan tahun lalu.
Demikianlah manusia. Apabila nafsu serakah menguasai diri, halal haram ditolak tepi. Walhal, pengharaman rasuah itu sudah jelas dalam Islam.
Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188)
JANGAN MENINDAS
Antara faktor mendorong rasuah adalah keinginan hidup mewah melebihi kemampuan. Islam tidak melarang umatnya hidup mewah asalkan harta dan kekayaan itu hasil titik peluh sendiri baik dari segi perniagaan dan sebagainya. Yang dilarang adalah melakukan penindasan termasuk makan rasuah untuk hidup kaya-raya.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah. Ia bukan semata-mata dalam bentuk fizikal iaitu wang ringgit dan harta yang bertimbun-timbun. Tetapi ia merangkumi nikmat kesihatan, hidup berkeluarga dan ketenangan.
Sebab itu, untuk menjadi insan yang bersyukur, seseorang itu perlu melihat orang lain yang berada di bawahnya. Untuk menjadi orang yang bertakwa pula hendaklah melihat kepada orang lain yang lebih banyak amal solehnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat kepada orang yang berada di atas kamu kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kamu. (Riwayat Bukhari)
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) menafsirkan rasuah sebagai: “Menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya”.
Suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya”.
Lebih mendukacitakan, apabila rasuah itu melibatkan orang Islam. Malaysia pula meletakkan dalam Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama bagi negara.
Soalnya, di mana hendak kita letakkan maruah Islam apabila pelaku rasuah adalah orang Islam dan mereka maklum tentang haramnya rasuah?
Bagi yang masih tidak mengerti, dinukilkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi)
Malaysia juga jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2020. Bagi 2019, Malaysia berada di kedudukan ke-51.
Yang memalukan, negara yang majoriti bukan Islam iaitu New Zealand dan Denmark berkongsi tangga pertama manakala Syria, Sudan Selatan dan Somalia berada di kedudukan terbawah. Dalam negara ASEAN, Singapura berada di kedudukan teratas diikuti Brunei.
Agaknya, cara terbaik untuk memahamkan golongan yang makan rasuah ini adalah mengambil analogi rasuah dan makan babi. Kedua-duanya haram dalam Islam.
Namun, kita tidak rasa jijik bila makan rasuah sebagaimana jijiknya makan daging babi.
Namun, makan babi itu tidak haram secara mutlak. Ia harus dimakan jika kita berada dalam darurat. Makan seadanya bagi meneruskan hidup.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu makan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah dia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 115)
Adapun, haramnya rasuah itu adalah mutlak. Tidak ada pengecualian walaupun dengan duit rasuah itu dia banyak bersedekah dan membuat kebaikan. Sebabnya, ia bersumberkan perbuatan haram.
Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak akan memasuki syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih utama baginya. (Riwayat Ahmad).










