Tak balik kampung satu jihad - Utusan Malaysia

Tak balik kampung satu jihad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK kampung adalah sebahagian budaya luhur anak di perantauan. Ia menjadi keutamaan dan kesempatan untuk pulang menemui orang tua dan sanak saudara. Semasa perayaan juga, masyarakat mengambil kesempatan mengadakan majlis keraian kesyukuran, pertunangan, perkahwinan, aqiqah dan lain-lain lagi. Selain menziarahi sanak saudara balik kampong menjadi suntikan motivasi untuk menyuburkan kembali jati diri, nilai kekerabatan, silaturahim, identiti lokal, kasih sayang di samping menjadi ruang untuk bersiar mengimbau dan mengutip kembali kenangan.

Namun, kerana krisis pandemik COVID-19 amalan balik kampung terpaksa disekat demi mengurangkan pergerakan. Kebenaran rentas negeri oleh pihak polis hanya diberikan untuk kes kecemasan dan pasangan keluarga komuter.

Sehingga Mei 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 pada jangkaan mengikut kes seharian untuk seluruh negara adalah 1.13. Saban hari terdapat laporan mengenai penambahan kluster-kluster baharu seperti kluster komuniti, kluster tempat kerja, kluster keagamaan dan kluster pendidikan. Jumlah kluster dan pesakit dijangka meningkat sekiranya pergerakan rentas daerah dan negeri semasa musim perayaan tidak dibendung. Pergerakan dan kepulangan anak cucu di perantauan bakal menjadi musibah komuniti khususnya kepada warga emas dan golongan berisiko sekiranya diteruskan. Kes penularan pandemik di negara India selepas musim perayaan wajar menjadi pengajaran.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: Fitnah akan berlaku. Orang yang tidur lebih baik daripada orang yang terjaga. Orang yang cuma tersedar dari tidur lebih baik dari orang yang bangkit berdiri (dari tempat pembaringan). Orang yang bangun dalam keadaan tetap berdiri (di tempat yang sama) lebih baik daripada orang yang mula bergerak dan bertindak (meninggalkan tempatnya). Sesiapa yang menemui tempat yang boleh berlindung (dari ditimpa fitnah semasa ia berlaku), maka hendaklah dia tetap berlindung di situ. Hadis ini direkod oleh Imam Muslim.

Bagi orang melayu, fitnah merupakan pengkhabaran atau tohmahan tidak benar dilempar kepada individu atau pihak dengan sesuatu tujuan buruk. Dari perspektif sabda Nabi Muhammad SAW, khususnya riwayat-riwayat tentang peristiwa akhir zaman, fitnah mengandungi maksud yang luas dan pelbagai. Antaranya, fitnah merujuk kepada ujian, musibah, cubaan, keadaan yang disukai dan tidak disukai oleh seseorang, ataupun kejadian-kejadian buruk seperti peperangan, pepecahan dan api permusuhan. Ia juga merujuk kepada perbalahan sesama sendiri, pembunuhan, kekejaman, kematian ulama yang tidak berganti dan meluasnya kejahilan. Selain itu fitnah juga merujuk kepada wabak, penyakit, pertambahan kadar maksiat dan perbuatan dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Juga termasuk dalam kategori definisi fitnah ialah sebaran tohmahan dan laporan palsu.

Makna fitnah berakar dari bahasa Arab fatana. Orang Arab menggunakan kalimah fatana atau fitnah ini merujuk kepada proses membakar logam dengan bakaran api pada suhu tertinggi bagi menguji ketulenan. Setelah melalui proses tersebut, logam yang paling berkualiti akan terhasil. Demikianlah sisi melihat hikmah apabila berlaku sesuatu krisis yang terpaksa dilalui oleh umat. Hadis yang disampaikan oleh baginda bukanlah ingin membayangkan masa depan gelap yang tiada harapan lagi bagi umat di akhir zaman. Sebaliknya ia menekankan tentang pentingnya perubahan sikap dan persediaan. Dalam ujian kehidupan, krisis atau situasi tertentu akan berlaku. Ia akan menjadi ruang dan proses bagi melahirkan insan terbaik, berkualiti serta berperanan secara efektif.

Dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19 pada hari ini, hadis di atas berguna sebagai salah satu panduan agama. Pandemik dan musibah termasuk dalam kategori definisi fitnah. Orang yang tidur dalam hadis merujuk orang yang tidak ditimpa oleh musibah dan menyebarkan musibah. Seseorang yang tidur tidak melakukan pergerakan melainkan hanya berbolak-balik sekitar tempat pembaringan. Risikonya hanya kecil. Barangkali berdengkur menggangu ketenangan ataupun terjatuh dari tempat perbaringan. Berbeza dengan mereka yang tersedar dari tidur. Boleh jadi yang dalam situasi dia terjaga itu dia menjadi panik. Lantas mencapai telefon atau bangkit. Orang yang telah bangun dari tidur tentu tidak senang duduk bersahaja. Dia tentu keluar dari bilik atau rumah merentas sempadan lokasi komuniti, kampung, bandar, daerah atau negeri. Ketika itu, tanpa disedari, dia sendiri telah mendedahkan diri sendiri, keluarga dan orang lain kepada risiko mendapat jangkitan.

Saranan baginda dalam hadis di atas jelas. Kita harus kekal untuk berada di tempat yang selamat sebagai langkah perlindungan diri dan juga orang lain. Melalui hadis ini kita dapat memahami bahawa orang yang paling kurang pergerakan ialah orang yang paling selamat. Dalam riwayat lain Usamah bin Zaid RA bercerita kepada Sa’d, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu mendengar tentang (penyebaran) wabak di sesuatu lokaliti, maka janganlah kamu masuk. Sekiranya kamu sedang berada dalam kawasan penularan wabak, maka janganlah kamu keluar darinya.” (Sahih al-Bukhari).

Perintah larangan pengerakan rentas daerah dan negeri juga pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.

Sa’ad Ibnu Sinan al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga telah berpesan: Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain. (Ibnu Majah). Dalam meletakkan prioriti keselamatan dan maqasid kesejahteraan seluruh umat, kepatuhan kepada ketetapan dari pihak berautoriti khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia haruslah menjadi kewajipan semua pihak. Kesejahteraan dan kesihatan awam hendaklah didahulukan berbanding keinginan dan kepentingan peribadi. Dalam riwayat hadis yang lain, Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan mentaati perintah pemimpin dalam keadaan susah atau senang, dalam keadaan kamu rela menerima perintah itu ataupun dalam keadaan berat hati dan juga dalam hal yang mengalahkan kepentingan dirimu sendiri. (Sahih Muslim)

Berdasarkan solusi daripada hadis-hadis Nabi SAW di atas, marilah kita terus bergandingan berusaha memutuskan rantaian penularan Covid-19. Demi ibu pertiwi, duduklah di rumah dan janganlah merentas negeri. Sekalipun berat dan berlawanan dengan kehendak hati, sekalipun kerinduan menggunung tinggi, kita buktikan kasih dan jihad untuk ayah bonda serta sanak saudara dengan melindungi mereka tanpa perlu balik kampung.

Dr. Najah Nadiah Amran merupakan Pengerusi Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×