Nowruz, hari baharu yang berbeza - Utusan Malaysia

Nowruz, hari baharu yang berbeza

Sekumpuan wanita Syria berhias dengan mengenakan pakaian yang cantik sempena sambutan Nowruz pada tahun lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terdapat begitu banyak perayaan dan sambutan di seluruh dunia dengan latar belakang yang berbeza. Namun, yang lebih menarik perhatian saya adalah sambutan perayaan Nowruz yang mungkin majoriti daripada kita tidak pernah mendengar tentangnya.

Mengapa saya berminat untuk berkongsi tentang perayaan ini? Kerana ia akan disambut pada Jumaat ini (20 Mac). Sebenarnya sebutan perayaan ini berbeza mengikut sesebuah negara dan dialek bahasa. Ada yang menyebutnya sebagai Novruz atau Nevruz, tetapi masyarakat antarabangsa lebih mudah menyebutnya sebagai Nowruz.

Perkataan Nowruz merupakan gabungan dua perkataan Parsi iaitu now yang bermaksud baharu dan ruz yang bererti hari. Sekiranya digabungkan kedua-dua perkataan ini dalam bahasa Melayu, maka Nowruz bermaksud hari baharu.

Perayaan Nowruz disambut sebagai meraikan hari pertama masuknya musim bunga dari musim sejuk, juga masuknya tahun baharu bagi kalendar Iran. Tarikh perayaan ini boleh jadi berbeza antara negara. Sambutannya jatuh sama ada pada 20 atau 21 Mac.

Nowruz bukan sahaja disambut di Iran, bahkan diraikan secara besar-besaran di banyak negara seperti Afghanistan, Azerbaijan, Tajikistan, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Turki.

API

Saya sendiri pernah menyertai sambutan Chaharshanbe Suri yang diraikan pada hari Rabu, iaitu sehari sebelum masuknya Nowruz di Izmir, Turki pada 2015. Perayaan tersebut diraikan dengan cara menyalakan api besar dan setiap orang akan melompat melepasi unggun api tersebut sambil menyanyikan lagu tradisional mereka yang menarik. Chaharshanbe sendiri bermaksud Rabu Yang Berapi. Perayaan ini sebenarnya dimulakan oleh penganut agama Zoroastrian, namun rakyat Iran terus meraikannya sebagai perayaan tradisi. Dalam kepercayaan mereka, apabila anda melompat melepasi unggun api tersebut, maka segala penyakit yang tertimpa pada diri akan dipadam.

Nowruz dijadikan sebagai perayaan antarabangsa rasmi oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2010. Lebih 300 juta orang dari seluruh dunia meraikan perayaan ini sejak 3,000 tahun dahulu di Balkan, Kaukasus, Asia Tengah, Timur Tengah dan tempat-tempat lain.

Pada pengamatan saya, perayaan ini secara tidak langsung dijadikan sebagai salah satu alternatif dalam mengeratkan hubungan antara negara dan bangsa yang meraikan dengan cara menggabungkan sambutan tersebut secara bersama. Sama seperti tradisi dan aktiviti masyarakat kita sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri, mereka juga menjalankan aktiviti-aktiviti seperti mengemas dan membersihkan rumah sehari sebelum ketibaan Nowruz, membeli dan memakai pakaian baharu, membeli bunga bagi menghias rumah seperti bunga tulip yang menjadi pilihan utama. Selain itu, mereka juga menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan rakan-rakan serta dihidangkan dengan pelbagai jamuan yang enak.

MATAHARI

Namun, apa yang lebih unik, selalunya sebelum kedatangan Nowruz, ahli keluarga akan duduk di sekeliling haft-sin. Haft-sin ialah susunan tujuh bahan-bahan simbolik yang bermula daripada perkataan sin. Apakah bahan-bahan tersebut? Pertama, sabzeh (sejenis resepi dari Iran seperti tepung dan barli), samanu (manisan), senjed (zaitun Parsi), serkeh (cuka), seeb (Epal), seer (bawang putih) dan somaq (buah sumac yang tumbuh di kawasan subtropika). Mengapa bahan-bahan ini? Kerana ia mempunyai simbolik tersendiri. Sabzeh merupakan simbol kepada kelahiran semula dan pertumbuhan. Samanu, simbol kepada kuasa dan kekuatan. Senjed, simbol kepada cinta. Somaq, simbol kepada matahari terbit. Serkeh, simbol kepada kesabaran. Seeb, simbol kepada kecantikan dan yang terakhir, seer merupakan simbol kepada perubatan dan kesihatan.

Kalau Hari Natal ada Santa Claus, Nowruz ada Amu Nowruz yang turut dikenali sebagai Messenger of Nowruz. Amu Nowruz merupakan satu watak lagenda Iran. Dikatakan kononnya, Amu Nowruz akan muncul pada awal musim bunga dan tahun baharu Iran. Amu Nowruz dicirikan sebagai seorang lelaki yang berambut perang tua, memakai topi, memegang tongkat, menyarung sehelai jubah yang panjang, selempang dan seluar yang unik.

Di Iran, perayaan Nowruz diraikan selama dua minggu. Sementara di negara-negara Asia Tengah, mereka meraikannya dengan cara menunaikan solat di masjid, melawat makam para ulama dan sebagainya.

Begitu panjang untuk dicatatkan tentang perayaan Nowruz ini. Saranan saya, buatlah pengkajian lebih terperinci supaya mendapat kefahaman yang lebih, pasti anda akan terhibur! Ayuh kita membudayakan sikap suka mengkaji.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN