Iblis serta konco-konconya terdiri daripada syaitan jin dan syaitan manusia (al-An’am 6:112) tak akan berhenti merosakkan manusia kerana itu janji mereka sejak azali (al-A’raf 7:14-17, al-Hijr 15:36-40 dan Sad 38:79-83). Mereka bekerja keras siang malam mencari peluang merosakkan manusia agar menjauhi Islam atau melonggarkan Islam yang sudah sedia dipeluk erat. Demi menjayakan perang menjahanamkan manusia, iblis menggunakan segala tenaga dan asetnya sebagaimana disebut Allah: “Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu; dan kerahlah penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janjimu). Padahal, tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.” (al-Isra’ 17:62-64).
Bukan setakat himpunan bala tentera, mereka juga bersumpah akan merosakkan manusia dari segenap penjuru hidup mereka (al-A’raf 7:16-17). Pastinya antara keperluan asasi manusia yang sudah sekian lama menjadi sasaran iblis adalah pakaian. Lihat bagaimana Allah kaitkan talbis (belitan tipu daya) iblis dengan isu pakaian dalam firman-Nya ini: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). “Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).” (al-A’raf 7:26-27).
Dalam dua ayat di atas, Allah menyebut perihal pakaian dan peranan iblis melucutkannya daripada ibu bapa kita dahulu. Mengapa? Tidak lain, ia bagi menyedarkan kita agar tidak terbelit dengan simpulan tipu daya iblis dalam aspek pakaian. Justeru, saya akan mengulas sudut belitan iblis pada pemakaian hijab wanita kerana ia sudah menjadi industri yang sangat pesat membangun di Malaysia.
Sebelum itu, perlu dijelaskan makna perkataan hijab yang datang dalam berbagai bentuk menurut al-Quran. Antaranya hijab: penutup atau pembatas (al-Ahzab 33:53); jilbab: penutup jasad (al-Ahzab 33:53) dan khimar: kain penutup kepala (al-Nur 24:31). Walaupun memiliki konteks tertentu, semua perkataan ini saling melengkapi. Contohnya, hijab menjadi sebab penghalang yang membataskan aurat wanita daripada dilihat oleh lelaki.
Jilbab pula sejenis pakaian sempurna yang menutup seluruh tubuh wanita daripada menjadi tatapan lelaki. Khimar pula bermaksud kain penutup kepala di mana wanita perlu menutup kepala dan belahan dadanya. Bahkan menurut bahasa Arab, perkataan khamar (arak) yang seakar dengan perkataan khimar bermaksud cecair memabukkan atau menutup akal peminumnya.
URUF
Pendek kata, semua perkataan ini melengkapkan makna menutup aurat bagi seorang wanita Muslimah. Pun begitu, saya menggunakan perkataan hijab kerana ia sudah diterima uruf Malaysia sebagai pakaian menutup aurat yang sempurna merangkumi seluruh jasad.
Berbalik kepada firman Allah tentang pakaian dalam ayat al-A’raf terdahulu, ia merangkumi tiga pakej pakaian sebenar seorang Islam iaitu pakaian menutup aurat secara sempurna, pakaian perhiasan yang seiring emosi manusia mahu dilihat cantik dan pakaian takwa di hati sebagai pelengkap kehidupan seorang Muslim. Tanpa sedar, iblis sudah lama membelit dua golongan manusia dalam berhijab.
Pertama, golongan yang beranggapan menutup aurat cukup sekadar memakai hijab di kepala tanpa memenuhi syarat asas menutup aurat seperti tudung kepala mesti menutup belahan dada (al-Nur 24:31), tidak memakai pakaian yang jarang serta ketat menampakkan susuk tubuh. Larangan ini diberi amaran tahap merah oleh Nabi SAW seperti berikut: “Dua golongan ahli neraka yang belum aku temui iaitu pertama ialah kaum (petugas pemerintah yang zalim) yang memiliki cemeti seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya. Kedua, wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (berpakaian jarang, ketat sehingga menampakkan susuk tubuh), mereka juga menyimpang daripada ketaatan (kepada Allah kerana tidak menjaga kehormatan diri), cenderung (kepada kaum lelaki dan menarik perhatian lelaki dengan lenggok jalan dan pergerakan bahunya).
Kepala mereka bersanggul seperti bonggol unta. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak berpeluang mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dihidu dalam tempoh perjalanan sekian dan sekian (jauh dan lamanya) (Sahih Muslim, 3971).
CAT MUKA
Selain itu, wanita berhijab tidak sepatutnya mengenakan fesyen yang mampu menarik perhatian lelaki kepadanya seperti memakai ‘cat muka’ yang ekstrem atau wangian menusuk hidung.
Ketahuilah, matlamat berhijab adalah untuk menjaga diri serta menutup pintu fitnah perhatian lelaki. Canggung benar jika hijab dipakai bersama segala aksesori hingga menjadi ‘magnet sosial’ pula. Larangan Allah dalam ayat berikut: “dan janganlah mereka (wanita beriman) menghentakkan kaki untuk diketahui orang apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka (menarik perhatian orang seperti memakai wangian atau perhiasan berat).” (al-Nur 24:31).
Kedua, golongan yang sudah menutup aurat secara sempurna tapi tidak memakai bersamanya pakaian takwa atau akhlak mulia. Orangnya lengkap berhijab dalam sarung busana Muslimah tapi mulutnya tiada insurans. Umpat keji menjadi ratib harian dalam pejabat dan di laman media sosial.
Tanpa segan silu bergurau mesra dan bertepuk tampar dengan lelaki. Sepatutnya hijab yang dipakai tambah menebalkan lagi sifat malu yang ada pada dirinya. Kesannya hijab hanya dianggap fesyen semasa dan bukan lagi pakaian yang menggambarkan integriti sebenar iman serta akhlak seorang Muslim.
Lalu apa langkah yang perlu kita lakukan bagi mengelakkan diri daripada lemas iman dek terbelit hijab sendiri dalam perangkap iblis? Tambahlah ilmu dan penghayatan kepada ajaran agama.
Golongan pertama kurang data tentang standard hijab menurut al-Quran dan sunah, manakala golongan kedua kurang penghayatan tentang pakaian takwa dalam berhijab. Ilmu dan penghayatan puncanya!
Untuk pihak berkuasa agama pula, boleh dicadangkan agar diperkenalkan garis panduan hijab yang sahih menurut Islam. Aneh? Bagi saya, tiada anehnya kerana kita sudah terbukti berjaya meletakkan standard patuh syariah atau halal kepada industri makanan dan perbankan Islam, maka panjangkan sahaja standard terbabit juga kepada busana Muslim.
PENULIS ialah Ketua Jabatan Tilawah, Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










