Kali ini, Yang di-Pertuan Agong sendiri bertitah dua hingga tiga kali mengingatkan ahli-ahli Parlimen agar bersatu padu dan menyokong Belanjawan 2021. Tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi negara kita, seorang Ketua Negara memberi peringatan sebegitu rupa.
Sudah tentu ia petanda bahawa Belanjawan 2021 kali ini bukan ‘kecil anak’untuk kita buat main atau digunakan sebagai medium mencari populariti. Sesuatu perkara yang menarik, titah Yang di-Pertuan Agong pastinya memberi kesan besar dan terlalu serius untuk kita perjuangkan.
Tak perlu dihurai panjang lagi, keperluan negara terhadap Belanjawan 2021 kali ini hanyalah satu, iaitu ia dapat diluluskan pada kuantiti dan kualiti paling terbaik dalam sejarah pembentangan di Parlimen.
Belanjawan 2021 adalah untuk kita pastikan negara dapat melawan musuh tak nampak, iaitu Covid-19 yang berada di sekeliling kita pada saat ini. Belanjawan kali ini juga untuk memastikan pengurusan isu ekonomi rakyat dapat diatasi dengan baik. Yang penting, nyawa rakyat tidak terkorban akibat Covid-19 dan perut rakyat dapat diisi hasil daripada sektor ekonomi yang berkembang pesat.
TARIK TALI
Jika belanjawan sebelum-sebelum ini, kita mungkin boleh ‘bermain tarik tali’ kerana tidak dapat dinafikan di setiap tawaran belanjawan itu ada terselit elemen-elemen memancing undi untuk pilihan raya akan datang. Tak kisah kerajaan manapun yang bentang, tidak dapat tidak, belanjawan akan digunakan sebagai alat paling berkesan untuk mengubah persepsi rakyat terhadap parti pemerintah.
Bagaimanapun, ia tidak berlaku kepada Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana tujuannya bukan untuk ‘menjual produk kerajaan’ sebaliknya mahu menyelamatkan nyawa dan perut rakyat.
Maka tidak hairanlah kenapa Yang di-Pertuan Agong berkali-kali menitahkan supaya seluruh ahli Parlimen memberi sepenuh kerjasama dan sokongan terhadap belanjawan kali ini. Suka diingatkan sekali lagi, jika ia titah Yang di-Pertuan Agong, maka perkara berkenaan bukan boleh dibuat main atau menggunakan gelanggang politik kepartian untuk ditafsirkan. Ia sudah tentu keperluan paling mustahak yang wajar dipatuhi oleh para patik di bawah.
Justeru, berpegang kepada dalil al-Quran yang jelas, adalah dinasihatkan dan diharapkan agar seluruh ahli Parlimen tidak menggunakan Belanjawan 2021 ini sebagai platform untuk memancing undi atau memburu populariti rakyat: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu.”(Surah An-Nisa : 59).
EGO
Sekali pun ada rasa tidak mahu menyokong Belanjawan 2021 disebabkan berlawanan parti politik dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, eloklah ahli-ahli Parlimen merenung wajah dan titah Yang di-Pertuan Agong berulang kali.
Undi dan sokonglah Belanjawan 2021 disebabkan oleh Ketua Negara, jika enggan menyokong kerana Perdana Menteri sekali pun. Ini kerana Ketua Negara membawa aspirasi rakyat, bukan mana-mana parti politik.
Yang di-Pertuan Agong terus bertitah, kematangan dalam berpolitik amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini, adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus. Ia sejajar dengan kaedah fiqh dengan merujuk kepada Al-Muwafaqat (jilid 3, muka surat 88) yang bermaksud mengambil kira kemaslahatan umum adalah lebih didahulukan daripada mengambil kira maslahah khusus,” titah Seri Paduka.
Semoga kita semua belajar sesuatu dari situasi yang sedang dihadapi saat ini. Belajar bagaimana menundukkan ego individualistik, ideologi dan sebagainya demi membantu kemaslahatan yang lebih luas dan besar.
PENULIS ialah Timbalan Ketua Lajnah, Pertubuhan Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami) Cawangan Putrajaya.










