“CITA-CITA politik tentu wajar saja, selama pandai menginsafi batasan etika.” – Najwa Shihab
Sidang Dewan Rakyat bermula 2 November lalu sehingga 15 Disember ini. Sudah tentu, rakyat yang peka dan cintakan sistem demokrasi berparlimen setia di hadapan set televisyen masing-masing menyaksikan sendiri proses keramat ini.
Melihatkan bagaimana persidangan pada 2 November lalu bermula dengan dramatik apabila isu keselamatan dan kesihatan berterusan dipolemik dan dipolitikkan dalam Dewan Rakyat, saya pasti, yakin dan percaya, ribut politik tidak akan pulih dalam masa terdekat. Hal ini jelas apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) mengusulkan agar masa persidangan dipendekkan, timbul bantahan lantang ahli-ahli Parlimen dengan angkuh melontarkan sanggahan mereka termasuk memperlekehkan kebolehjangkitan virus Covid-19 itu sendiri.
Alasan mereka hanya satu, kononnya hak bersuara disekat kerana waktu persidangan yang dipendekkan. Sudah tentu akal waras akan meyakini sesungguhnya masa yang ada tetap bernilai jika dihabiskan untuk manfaat rakyat. Sedangkan masa akan terasa tidak bernilai dan pendek saat mereka mula merapu membangkitkan hal dan usul untuk kepentingan politik sempit masing-masing.
Maka menghayati pembentangan usul-usul yang penting dalam mesyuarat Parlimen kali ini termasuklah Belanjawan 2021, saya ingin sekali menitipkan beberapa peringatan untuk ahli-ahli Parlimen.
BIADAB
Peringatan pertama, gunakan masa pendek yang ada untuk membahaskan masalah negara, bukannya strategi memelihara kuasa mereka sendiri. Sejak 10 tahun kebelakangan, setiap kali Dewan Rakyat bermesyuarat akan ada insiden di mana ahli Parlimen melanggar adat dengan kata-kata biadab dan sindiran melewah semasa rancak berbahas. Hentikan drama kekampungan ini kerana rakyat sudah muak dengan sajian yang sama.
Peringatan kedua, mereka hanya mampu menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat yang mulia itu berbekalkan undian rakyat marhaen saat pilihan raya tiba. Maka, jangan kerana keangkuhan merasakan pakaian politik sudah mampu membuatkan mereka kalis undang-undang sehinggakan mereka begitu bongkak dan enggan akur kepada peraturan alam.
Hormatilah peraturan yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan selain prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui atas nasihat Kementerian Kesihatan. Jadikanlah jumlah kematian Covid-19 sebagai tauladan yang menginsafkan. Lebih-lebih lagi ada pesakit Covid-19 datang daripada kalangan ahli politik sendiri. Wang tak akan mampu mengkafankan kita, kuasa tidak akan mampu mengebumikan kita dan pengaruh tidak akan mampu mentalkinkan kita saat hilang nyawa nanti.
Ketiga, ingatlah suara dan undian rakyat yang memberikan mereka kuasa untuk berjalan mendongak ke langit. Ingatlah, suara dan undian rakyat mampu menjatuhkan mereka tersembam ke bumi.
Jangan kerana bualan angkuh hari ini, ada rakyat mendoakan kejatuhan mereka esok hari. Hentikanlah polemik dan politik wang, kuasa dan pengaruh semasa melangkah masuk ke Dewan Rakyat yang hanya menyala lampunya atas kutipan wang cukai hasil titik peluh kita semua.
KESOMBONGAN
Cabaran yang ada dilontarkan oleh ahli Dewan Rakyat kononnya proses mesyuarat dirumitkan dengan SOP yang ketat maka wajar kerajaan ditukar adalah cabaran kebudak-budakan berbaur kesombongan yang memualkan. Rakyat tidak mahu lagi sejarah gelombang ketiga daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berulang pada skala lebih besar di Semenanjung. Yang menjadi mangsa adalah rakyat di jalanan. Percayalah, jika diadakan juga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), rakyat akan cam muka 222 orang ahli Dewan Rakyat yang ada dan akan rakyat tukarkan setiap seorang daripada mereka.
Dalam pada kita menunggu pembentangan dan perbahasan belanjawan tahunan negara, eloklah ahli-ahli Parlimen diingatkan untuk tahu dan maklum apa yang penting pada mata rakyat. Kami sudah jemu dengan permainan politik. Rakyat lebih berselera dalam memikirkan ancaman kesihatan dan ekonomi yang semakin meruncing. Lebih-lebih lagi kerana rakyat tahu peruntukan kepada
Kementerian Kesihatan, sungguhpun besar, masih tidak mencukupi saban tahun. Dalam pada ahli Dewan Rakyat duduk di kerusi kulit yang empuk, ingatlah kerusi di ruang menunggu hospital-hospital kerajaan yang sudah banyak patah, tercabut atau berlubang.
Masa kita semakin suntuk. Ekonomi negara semakin gawat dengan 4.7 peratus kadar pengangguran seluruh negara. Sementara bualan rakyat marhaen saban hari memikirkan harga nasi yang disuap ke mulut, janganlah ahli Parlimen mendabik dada ligan membahaskan kuasa politik masing-masing seolah-olah setiap mereka akan terus hidup 100 tahun lagi. Sedar dan seganlah dengan amanah yang maha berat digalas dipundak. Semoga semua ahli Parlimen tunduk dengan fitrah berhampar lapik, berlicin daun agar setiap hak rakyat dikembalikan untuk memelihara kepentingan rakyat.
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.










