Reda keresahan marhaen - Utusan Malaysia

Reda keresahan marhaen

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di bangunan Parlimen, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pembentangan Belanjawan 2021 semalam dilihat meredakan keresahan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang bekerja sendiri selepas kehidupan terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

Peruntukan sebanyak RM322.5 bilion yang terbesar pernah diumumkan itu diyakini mampu membantu golongan berkenaan meneruskan kelangsungan hidup tanpa terasa bebanan atau tertekan akibat kecelaruan ekonomi dan politik negara.

Pada masa sama, kerajaan tidak meminggirkan kebajikan golongan berpendapatan pertengahan (M40) dengan memberikan manfaat melalui pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium dengan dua pilihan, sama ada melanjutkan pembayaran selama tiga bulan atau membayar 50 peratus ansuran bulanan selama enam bulan.

Dua penganalisis ekonomi menyifatkan belanjawan untuk tahun depan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah komprehensif dan inklusif kerana merangkumi semua segmen penting, selain membantu meringankan beban rakyat secara menyeluruh ketika penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr. Kasim Md. Mansur berkata, 2021 merupakan tahun pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sekali gus menjadi suntikan besar untuk melonjak ekonomi negara.

Menurutnya, belanjawan kali ini berupaya memastikan ekonomi kita berada pada landasan betul.

“Diharapkan kita boleh mempertahankan pertumbuhan ekonomi pada lima peratus seperti sebelum ini. Ditambah harga komoditi semakin bagus seperti contoh kelapa sawit terkini RM3,100 per tan.

“Ini berita baik bagi ekonomi kita pada tahun depan untuk melonjak lebih mantap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sebagai contoh katanya, pelancongan yang merupakan sektor paling teruk terjejas dilihat mampu keluar dari kelembapan menerusi peruntukan RM50 juta bagi kerja-kerja penyelengaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

DOMESTIK

Sebanyak RM20 juta pula diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi kampung-kampung budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Pada tahun depan, lebih tumpuan dapat diberikan kepada pelancongan domestik sekali gus menjadikan sektor itu lebih berdaya saing,” ujarnya.

Selain itu, peruntukan besar buat sektor pertanian dilihatnya dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan petani dan nelayan.

Sebanyak RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif kepada golongan berkenaan. Antaranya subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi (RM960 juta) termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta. Kesemua bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak.

Dalam pada itu, elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan bermula tahun depan yang akan diterima lebih 40,000 nelayan.

“Sumbangan besar ini sewajarnya diberikan kepada nelayan. Pendapatan mereka juga terjejas lebih-lebih lagi tidak dibenarkan keluar menangkap ikan pada waktu-waktu tertentu.

“Berita baik ini pastinya melegakan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, peruntukan besar dalam Belanjawan 2021 bermakna rakyat boleh menjalani kehidupan yang lebih selesa, sekali gus mengurangkan masalah fiskal dan psikologi.

“Malah golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas juga menikmati tambahan kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pelbagai insentif dan pengurangan cukai di sediakan bagi semua sektor mampu mempertahan dan menggembangkan ekonomi negara.

“Insentif juga disediakan untuk inovasi di samping banyak latihan vokasional dan kemudahan untuk penggunaan tenaga tempatan disediakan.

“Ini akan memacu lagi ekonomi negara agar lebih kompetitif selain mengurangkan kebergantungan kepada barangan import,” jelasnya.

Pada masa sama, Abu Sofian berharap perkhidmatan internet dipertingkatkan di setiap pelosok negara termasuk kampung, pekan dan bandar agar mendapat liputan sangat baik, sekurang-kurangnya kelajuan 4G pada kos lebih rendah.

“Dalam kehidupan seharian kita sama ada pelajaran, perhubungan dan perniagaan kini menggunakan pelbagai gajet dan aplikasi. Ini akan memberi kesejahteraan dan ketenangan hidup kepada rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN