Belanjawan 2027: Memilih keutamaan dalam keterbatasan

Belanjawan 2027: Memilih keutamaan dalam keterbatasan

DENGAN perancangan berasaskan data dan pertimbangan yang teliti, setiap ringgit dapat disalurkan kepada keperluan yang memberi manfaat paling besar kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN negara pada dasarnya ialah masalah membuat pilihan dalam keadaan sumber yang terbatas.

Keperluan negara hampir tidak berkesudahan. Sekolah perlu dibaiki, hospital memerlukan peralatan dan petugas, pengangkutan awam mesti dipertingkat, tebatan banjir perlu dibina dan bantuan sosial mesti sampai kepada golongan rentan.

Pada masa sama, kerajaan turut perlu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menjaga kedudukan fiskal negara. Sebab itulah penegasan dalam Kenyataan Prabelanjawan 2027 bahawa setiap ringgit mesti memberikan nilai faedah terbaik kepada rakyat, sebenarnya bukan sekadar retorik politik tetapipersoalan matematik pengoptimuman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Skala persoalan ini besar. Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perbelanjaan awam bagi tahun tersebut berjumlah RM470 bilion, merangkumi RM338.2 bilion belanja mengurus, RM81 bilion belanja pembangunan, RM30 bilion pelaburan Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM10 bilion pelaburan awam-swasta serta RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun dan syarikat Kementerian Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Pada masa sama, kerajaan menyasarkan defisit fiskal turun kepada 3.5 peratus pada 2026. Persoalannya, bagaimana meningkatkan peruntukan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan bantuan rakyat, sambil mengawal defisit, hutang dan ketirisan?

Dari sudut matematik, ini dipanggil pengoptimuman berbilang objektif. Kerajaan hampir tidak pernah mempunyai satu matlamat sahaja. Jika hanya mahu jimat kos, hospital mungkin terus sesak.

Jika hanya mengejar pertumbuhan ekonomi, kawasan bandar sentiasa diutamakan berbanding pedalaman.

Jika hanya mengejar kesamarataan, sumber mungkin tidak sampai ke projek berimpak tertinggi.

MATEMATIK BANTU TENTUKAN KEUTAMAAN

Realitinya, kerajaan perlu mengejar semua matlamat ini serentak seperti kos, impak sosial, keadilan wilayah, bantuan golongan rentan, pertumbuhan ekonomi dan disiplin fiskal.

Di sinilah pengaturcaraan matlamat memainkan peranannya sebagai satu kaedah matematik yang dipelopor Abraham Charnes dan William Cooper, berakar daripada penyelidikan bersama Robert Ferguson pada 1955 sebelum istilah tersebut diperkenalkan secara rasmi pada 1961.

Berbeza daripada pengaturcaraan linear tradisional yang mencari satu nilai optimum tunggal, pengaturcaraan matlamat membolehkan pelbagai sasaran ditetapkan serentak.

Model ini mengukur sejauh mana sesuatu sasaran tercapai atau tidak, kemudian meminimumkan penyimpangan yang tidak dikehendaki berdasarkan keutamaan ditetapkan. Hasilnya bukan penyelesaian sempurna untuk semua pihak tetapi kompromi matematik paling optimum yang boleh dicapai.

Bayangkan kerajaan mempunyai tambahan RM10 bilion. Ia boleh menetapkan sasaran minimum untuk kesihatan dan pendidikan, peruntukan khusus untuk Sabah, Sarawak serta kawasan luar bandar, sasaran pengurangan kemiskinan, serta pembangunan infrastruktur, semuanya tanpa melanggar had fiskal.

Dalam model matematik, jumlah kepada setiap sektor menjadi pemboleh ubah keputusan, jumlah wang tersedia menjadi kekangan, manakala kejayaan atau kegagalan mencapai sasaran diukur secara berangka.

Persoalannya bukan lagi sektor mana patut dapat paling banyak tetapi kombinasi peruntukan mana yang paling hampir memenuhi paling banyak matlamat negara serentak.

Belanjawan 2026 turut memberi gambaran bagaimana penjimatan hasil langkah penyasaran subsidi termasuk bagi ayam, telur, elektrik, diesel dan RON95 dianggarkan boleh mencecah sekitar RM15.5 bilion setahun, iaitu dana yang dihasratkan untuk disalurkan semula kepada kebajikan, kos sara hidup dan prasarana rakyat.

Persoalannya, bagaimanakah jumlah sebegini patut diagihkan supaya manfaat keseluruhan kepada rakyat mencapai tahap optimum?

Di sinilah terletaknya kelebihan sebenar pengaturcaraan matlamat yang menjadikan pertukaran antara pelbagai pilihan lebih telus.

Sebagai ilustrasi konsep (bukan angka sebenar daripada Belanjawan 2026), andaikan sejumlah besar dana disalurkan kepada pembinaan jalan raya sehingga menjejaskan sasaran menaik taraf hospital luar bandar membolehkan kos peluang tersebut boleh dikenal pasti dan diukur secara lebih jelas.

Keadilan wilayah juga boleh dimodelkan sebagai objektif matematik, bukan sekadar retorik.

Menurut kerajaan, peruntukan pembangunan Sabah dalam Belanjawan 2026 meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala Sarawak menerima RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada 2022. Hal ini menjadi bukti ‘kecekapan’ tidak semestinya bermaksud wang hanya mengalir ke kawasan berpulangan ekonomi terbesar.

Namun, matematik bukan penyelamat mutlak. Model hanya sebaik data, sasaran dan pemberat yang dimasukkan ke dalamnya. Data kemiskinan yang tidak tepat atau kos projek yang tidak realistik akan menjejaskan hasil pengoptimuman. Sebab itu pengaturcaraan matlamat harus dilihat sebagai sistem sokongan keputusan, bukan mesin yang menggantikan pertimbangan manusia.

Kerajaan dan Parlimen tetap menentukan keutamaan negara sementara matematik hanya menunjukkan akibat setiap pilihan secara lebih objektif dan boleh diuji.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini, pendekatan ini wajar dipertimbangkan secara lebih serius dalam penyasaran subsidi, pemilihan projek, pembaikan sekolah dan hospital, tebatan banjir, pengangkutan awam dan bantuan sosial.

Pada akhirnya, belanjawan bukan sekadar membahagikan wang. Ia merupakan proses memilih antara keperluan yang semuanya penting dan matematik, meski tidak menentukan nilai yang patut dipilih sesebuah negara, boleh memastikan setiap pilihan itu dibuat dengan kos peluang yang diketahui, pertukaran yang jelas dan setiap ringgit benar-benar menghasilkan nilai terbaik kepada rakyat.-UTUSAN

 

DR. Nur Syahirah Ibrahim ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×