KUALA LUMPUR: Keberanian anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membuat aduan berhubung salah laku pegawai atasan menunjukkan usaha memupuk budaya integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa telah membuahkan hasil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan anggota itu menunjukkan peringatan berterusan kementerian mengenai kepentingan menjaga integriti dan tidak melindungi sebarang amalan yang melanggar undang-undang mula mendapat perhatian.
Beliau berkata, kementerian mempunyai dua pilihan selepas menerima aduan berkenaan sama ada menyimpan perkara itu bagi menjaga nama baik agensi atau mengambil tindakan demi menegakkan undang-undang.
“Kita ada dua pilihan, pendam bagi menjaga nama baik agensi atau bertindak kerana menegakkan undang-undang. Kita pilih untuk bertindak. Ini satu contoh bagaimana anggota kita menghayati nasihat dan seruan kita,” katanya selepas melancarkan Asia International Security Summit and Expo 2027 (AiSSE 2027) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau berkata, maklumat yang disalurkan anggota berkenaan membawa kepada penangkapan pegawai terbabit tanpa mengira kedudukan atau pangkatnya.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan syabas kepada AKPS atas tindakan yang diambil susulan aduan berkenaan.
Katanya, kejadian itu membuktikan peringatan berterusan mengenai kepentingan integriti bukan sekadar seruan sebaliknya dihayati oleh anggota agensi penguat kuasa sehingga mereka sendiri tampil melaporkan sebarang salah laku.
“Kalau hari-hari kita ingatkan kepada semua agensi penguat kuasa bahawa keburukan akibat melindungi sebarang praktis atau amalan yang melanggar undang-undang.
“Lama-kelamaan seruan kita itu dihayati dan mereka sendiri yang akan membawa aduan ini ke atas,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu berusia 40-an susulan aduan seorang pegawai wanita berhubung dakwaan salah laku membabitkan pegawai atasannya.
Kes itu membabitkan dakwaan pegawai atasan berkenaan membantu seorang wanita warga asing berusia 38 tahun memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah melalui pintu masuk imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, dan kini disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).- UTUSAN











