DAP Perak kekal sokong Saarani sehingga akhir penggal - Utusan Malaysia

DAP Perak kekal sokong Saarani sehingga akhir penggal

NGA Kor Ming (duduk tengah) bersama wakil rakyat DAP menunjukkan buku ucapan Belanjawan 2027 negeri Perak di Ipoh, Perak hari ini.-UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP Perak kekal memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai menteri besar sehingga akhir penggal ini.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga dianggap sebagai pilihan tepat ketika ini mengambil kira prestasi kerajaan negeri ini sejak tahun 2022.

Katanya, hal itu dapat dibuktikan dengan kemampuan kerajaan negeri merekodkan belanjawan lebihan yang berupaya mencecah hampir RM200 juta sejak PH dan BN membentuk kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, hal itu dicapai hasil kestabilan politik, tatakelola yang baik serta kepimpinan yang berintegriti kerana adanya semak dan imbang.

“Ini terbukti formula BN dan PH ini merupakan satu pilihan yang bijaksana demi menjaga rakyat dan mempertahankan kemakmuran negeri,” katanya selepas pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2027 di sini hari ini.

Kor Ming (PH-Kepayang) berkata, pelbagai peruntukan belanjawan kerajaan negeri untuk masyarakat dan hal ehwal Islam membuktikan kononnya agama Islam adalah terancam di bawah kerajaan Perpaduan adalah satu tohmahan.

“Saya yakin, selagi Menteri Besar melaksanakan tugas, amanah dan tanggungjawab dengan baik, kami akan berdiri teguh bersama beliau sehingga ke penghujung penggal. Ini bukan masa untuk bermain politik.

“Mereka yang berminat untuk ‘tebuk atap’, boleh tunggu sehingga akhir 2027 (penggal tamat),” katanya.

Perak merupakan negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan sejurus selepas PRU15 pada November 2022.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dengan BN memiliki sembilan kerusi, PH 24 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) 26 kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini