Siasatan kes seludup dadah babit pegawai TUDM masih berjalan - Utusan Malaysia

Siasatan kes seludup dadah babit pegawai TUDM masih berjalan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Majlis Perasmian Asia International Security Summit & Expo 2027 (AISSE27), di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia(MITEC), di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan kes penyeludupan dadah yang membabitkan penggunaan aset ketenteraan negara masih diteruskan dan dijangka terdapat lagi tangkapan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini seramai 13 individu termasuk tujuh pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan ditahan dalam tempoh terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini belum terhenti lagi dan kita akan ada lagi (tangkapan),” katanya selepas melancarkan Asia International Security Summit and Expo 2027 (AiSSE 2027) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini. 

Beliau berkata, perubahan modus operandi sindiket pengedaran dadah tidak akan menghalang PDRM daripada mengesan dan membanteras kegiatan jenayah tersebut.

Katanya, modus operandi jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah mungkin berubah dari segi pendekatan dan strategi, namun ia tidak terlepas daripada radar risikan polis.

“Jenayah itu mungkin berubah dari segi pendekatan dan strategi tetapi saya beri jaminan ia tidak terlepas daripada radar intipan kita.

“Cuma cepat atau lambat sahaja. Begitu juga apabila seseorang itu cuba melompat, akhirnya dia tetap akan jatuh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan di lapangan terbang, pintu masuk negara, pelabuhan serta lokasi strategik menunjukkan kesiapsiagaan pasukan polis, khususnya bahagian narkotik.

Beliau berkata, isu ancaman dadah turut menjadi antara pengisian persidangan dan bengkel sempena AiSSE 2027 termasuk perbincangan mengenai corak ancaman dadah di peringkat global.

Katanya, kedudukan strategik Malaysia turut menjadikan negara ini lokasi penting dalam konteks pengedaran dadah dan perkara itu akan dibincangkan dalam bengkel berkenaan.

“Platform itu juga menjadi ruang terbaik untuk pegawai narkotik menambah ilmu menerusi forum, persidangan serta pameran pelbagai peralatan dan teknologi.

“Saya optimis mengenai kesan positif pameran ini kepada PDRM,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini