Badan berisi, tidak perlu beritahu saya sendiri sedar – Janna Nick - Utusan Malaysia

Badan berisi, tidak perlu beritahu saya sendiri sedar – Janna Nick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelakon, Janna Nick mengakui kecaman berterusan mengenai perubahan fizikalnya memberi tekanan emosi apatah lagi apabila orang ramai sewenang-wenangnya mengkritik tanpa mengetahui perjuangan yang dilaluinya.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 31, berkata, dia sendiri menyedari perubahan bentuk tubuhnya, justeru tidak memerlukan orang lain untuk mengingatkannya tentang perkara tersebut.

“Sebagai seorang wanita, apabila kita mula rasa tidak seronok untuk mengenakan pakaian, sebenarnya kita tidak perlukan orang lain untuk mengecam kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang tidak perlu cakap, ‘Gemuklah, kuruslah sedikit.’ Tak perlu bagitahu saya sudah berisi sebab kita sendiri sedar keadaan diri. Kita tidak berilusi. Apabila melihat cermin atau mencuba pakaian, kita sendiri ada kesedaran itu.

“Kadang-kadang kita tengok pakaian cantik pada patung peraga, tetapi apabila dipakai, kita tertanya-tanya kenapa nampak gemuk dan lengan besar.

“Apabila kita sendiri sudah sedar tetapi orang lain menambah lagi dengan komen sedemikian, kita rasa sangat tertekan dan kecewa,” katanya ketika ditemui pada sidang media Program Turun KG, hari ini.

Dalam pada itu, Janna mendedahkan suaminya, Dini Schatzmann merupakan individu yang paling memahami perubahan fizikalnya sepanjang menjalani ikhtiar mendapatkan zuriat.

“Suami ada bersama kita setiap hari. Dia tahu perjalanan kita, kenapa badan kita gemuk, berapa banyak kita makan dan sama ada kita bersenam atau tidak.

“Tetapi apabila orang luar yang tidak berada dalam perjalanan hidup kita sesuka hati mengatakan kita gemuk, mereka sebenarnya tidak tahu perjuangan kita.

“Apabila orang mengatakan isterinya gemuk, dia bersimpati kerana tahu pengorbanan yang terpaksa saya lakukan terhadap tubuh badan sendiri untuk mendapatkan zuriat,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon drama Marry Me Senorita itu menegaskan keputusannya untuk menurunkan berat badan kali ini bukan demi memenuhi kehendak suami atau memuaskan hati mana-mana pihak, sebaliknya untuk mengembalikan keyakinan diri.

“Sekarang ini bukan lagi mengenai suami saya atau usaha mendapatkan zuriat. Sekarang ini adalah mengenai diri saya sendiri. Saya mahu melakukannya untuk diri dan keyakinan saya.

“Saya mahu kelihatan cantik, lebih kemas dan yakin apabila mengenakan pakaian. Segala yang saya lakukan sekarang adalah untuk diri saya, bukan untuk suami,” tegasnya.

Janna yang kini menyasarkan penurunan sebanyak 10 kg dalam tempoh 90 hari menerusi cabaran yang program yang dianjurkan oleh Masha Group, selain berharap ikhtiarnya untuk memiliki bentuk badan yang ideal tidak dipersendakan.

“Apabila kita berbadan besar, ramai yang akan memandang kita dengan pandangan berbeza. Orang melihat kita seperti boleh diperkotak-katikkan dan dipersendakan.

“Jadi, saya berharap selepas menurunkan berat badan nanti, orang akan mengambil saya dengan lebih serius,” ujarnya.

Cabaran Program Turun KG Musim 2 dijalankan selama 90 hari bermula 1 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini