India halang pemimpin gerakan Parti Lipas terbang ke London

India halang pemimpin gerakan Parti Lipas terbang ke London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang pemimpin gerakan belia India yang dikenali sebagai Parti Lipas mendakwa dihalang meninggalkan New Delhi untuk ke Britain bagi menyampaikan ceramah mengenai gerakan protes kumpulan itu yang tular di media sosial.

Saurav Das, 27, merupakan antara individu utama di sebalik Parti Lipas Janta (CJP) yang mengumpul jutaan pengikut di media sosial sejak dilancarkan pada Mei lalu.

Das yang dijadualkan berlepas awal Selasa berkata, pegawai imigresen di lapangan terbang memaklumkan bahawa pasportnya telah ditandakan dalam sistem.

Memuatkan artikel berkaitan…

Insiden itu berlaku sebulan selepas beliau ditahan kerana mengingkari sekatan keselamatan yang dikuatkuasakan di New Delhi ketika menyertai protes menuntut peletakan jawatan ketua suruhanjaya pilihan raya India.

“Kerajaan pengecut ini tidak membenarkan saya menaiki penerbangan ke London, sedangkan saya dijemput oleh universiti terkemuka seperti Oxford, Cambridge, London School of Economics (LSE) dan Edinburgh untuk menyampaikan ceramah mengenai gerakan CJP.

“Pelajar India telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menganjurkan acara itu, tetapi kerajaan yang anti-intelektual ini takut saya pergi ke institusi terkemuka berkenaan!” katanya menerusi hantaran di media sosial pada lewat Isnin.

Das dijadualkan menyampaikan ceramah di Oxford Union, sebuah pertubuhan perbahasan berprestij di Universiti Oxford, pada 1 Disember ini.

Protes anjuran CJP pada Julai lalu berhubung dakwaan penyelewengan peperiksaan memaksa bekas Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan, sekali gus menjadi antara tindakan berundur yang jarang dilakukan kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Pengkritik mendakwa hak asasi manusia dan kebebasan media di India semakin merosot sejak Modi mengambil alih kuasa pada 2014.

Awal bulan ini, India menghalang lebih 100 penceramah asing daripada menghadiri sidang kemuncak demokrasi anjuran parti pembangkang, Kongres.

Antara mereka yang tidak diberikan visa ialah seorang wartawan Norway yang sebelum ini pernah mengemukakan soalan kepada Modi berhubung kebebasan media.

Pada 2022, pihak berkuasa turut menghalang jurugambar terkenal dari Kashmir yang ditadbir India, Sanna Irshad Mattoo daripada berlepas ke Amerika Syarikat (AS) bagi menerima Hadiah Pulitzer yang dimenanginya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini