KUALA LUMPUR: Ancaman serangan siber yang semakin meluas berisiko melumpuhkan sistem pentadbiran kerajaan dan institusi negara sekiranya tidak ditangani dengan pantas, canggih serta profesional.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ancaman siber moden kini menyasarkan nadi keselamatan negara termasuk maklumat sensitif seperti data penduduk, sistem percukaian, rekod pasukan polis dan sistem suruhanjaya pilihan raya.
Beliau berkata, ancaman itu bukan lagi sekadar melibatkan isu undang-undang, peraturan atau kepakaran sumber manusia, sebaliknya memerlukan kesedaran tinggi seluruh rakyat terhadap risiko serangan yang boleh melumpuhkan institusi negara.
“Ia terbukti menerusi beberapa insiden serangan siber di peringkat global apabila sistem percukaian Belgium, Suruhanjaya Pilihan Raya Amerika Syarikat serta maklumat pasukan polis di Jepun turut menjadi sasaran.
“Ia bukan sekadar soal undang-undang, peraturan, sistem atau kepakaran sumber manusia yang kita ada termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sebaliknya ia menuntut tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat bahawa ancaman yang boleh melumpuhkan institusi negara kini datang dalam bentuk serangan siber yang tidak dijangka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Rasmi Asia International Security Summit & Expo 2027 (AISSE’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen berhubung ancaman berkenaan, selain Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen.
Katanya, penganjuran AISSE’27 menjadi platform penting kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara serta merangka dasar keselamatan lebih dinamik dalam mendepani ancaman baharu.
“KDN tidak mampu melihat semua ancaman jika hanya bergantung kepada gaya kerja biasa melalui pembuatan dasar dan 11 agensi sedia ada.
“Justeru, menerusi tema ‘Future Proofing Nation: Security Empowered by AI’, kita mahu menumpukan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menyelesaikan isu keselamatan termasuk keselamatan sempadan, serangan siber serta ancaman di laut, darat dan udara,” katanya.
AISSE’27 yang dihoskan KDN dengan Alpine sebagai peneraju urus kendali akan berlangsung selama tiga hari pada Januari tahun depan di MITEC, dengan penyertaan kesemua 11 agensi di bawah kementerian itu.
Edisi kedua penganjuran berkenaan menyasarkan penyertaan 500 syarikat dari 50 negara dan kehadiran 25,000 pengunjung.
Pameran itu turut menyediakan ruang seluas 18,000 meter persegi, selain menganjurkan 40 sesi persidangan membabitkan hampir 100 penceramah dan hampir 4,000 peserta.
Ia turut menampilkan sembilan kluster strategik, 150 delegasi kenamaan antarabangsa serta 700 delegasi kenamaan tempatan.
Pada 14 November lalu, Anwar mendedahkan Malaysia berhadapan ribuan percubaan serangan siber setiap bulan yang menuntut tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan lebih pantas dan ampuh.
Beliau dilaporkan berkata, landskap keselamatan negara kini tidak lagi tertumpu kepada ancaman ketenteraan konvensional semata-mata, sebaliknya serangan siber, pencerobohan sistem serta pergerakan sel pengganas menjadi cabaran kritikal ketika ini.- UTUSAN










