DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 adalah agensi bahasa Melayu terutama di negara ini.
DBP adalah organisasi ulung yang memberikan perkhidmatan mengenai bahasa Melayu dari pelbagai segi. Antaranya termasuklah dari segenap lingkungan dalam bidang linguistik, sastera dan budaya Melayu.
DBP melaksanakannya melalui proses perancangan bahasa. Usaha ini lazimnya diuruskan pihak pemerintah bagi membangunkan bahasa kebangsaan, supaya bahasa tersebut mampu berfungsi dengan berkesan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dalam hal ini, perancangan bahasa terdiri daripada dua proses yang berjalan serentak, iaitu merencana taraf bahasa yang diangkat untuk menjadi bahasa negara dan membina struktur dalamannya agar mampu melaksanakan peranannya dengan baik.
Untuk merangka tarafnya, proses ini dikenali sebagai perancangan status manakala bagi menyusun struktur yang membinanya, dikenali sebagai perancangan korpus.
Dengan ini, perancangan status melibatkan usaha untuk mengubah taraf pada bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa negara.
Ini bertujuan untuk menukar peranan awam, kedudukan kanun dan fungsi sosial pada bahasa yang dinobatkan itu.
Dalam pada ini, proses menentukan di mana dan bagaimana bahasa yang kini merupakan bahasa negara itu digunakan.
Dalam proses perancangan status selepas bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa negara, fungsinya diperluaskan untuk memenuhi peranan tertentu. Antara yang paling penting ialah sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu berfungsi sebagai identiti nasional negara serta identiti budaya rakyat Malaysia.
Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu digunakan dalam pentadbiran kerajaan, perkhidmatan awam, sistem perundangan dan juga pendidikan.
Sementara itu, perancangan korpus merujuk kepada usaha intervensi untuk memperkemas struktur dalaman bahasa yang telah diangkat sebagai bahasa negara.
Dalam hal ini, peranan bahasa Melayu antaranya memberi tumpuan kepada pembakuan nahu, peluasan kosa kata, penggubalan istilah serta segala tindakan lain tentang ejaan, tulisan dan sebutan pada bahasa negara itu.
Melalui proses ini, bahasa negara itu antaranya dikodifikasi dan dimodenkan. Kedua-dua kodifikasi dan modenisasi ini penting dalam usaha memastikan bahasa negara itu dipelajari dengan betul dalam bidang pendidikan, digunakan secara baik dalam media serta diamalkan orang awam dengan jitu.
Menerusi kodifikasi, bahasa negara berkenaan dipastikan digunakan secara seragam oleh semua penuturnya. Ini tercapai dengan adanya usaha untuk menyeragamkan nahu, ejaan dan sebutan agar semua penuturnya berkongsi titik rujukan yang sama.
Manakala menerusi modenisasi, kosa kosa dan apa-apa jua sumber pada bahasa negara itu dikembangkan agar mampu berbicara secara berkesan tentang segala macam konsep moden.
Begitu juga dalam semua bidang baharu, khususnya teknologi terkini. Melalui proses perancangan korpus, bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa saintifik moden yang mampu mengungkapkan pelbagai konsep, sama ada konkrit mahupun abstrak dalam semua bidang ilmu. Hal ini kerana aspek ejaan, tulisan, sebutan, kosa kata, istilah, nahu dan wacana berjaya dikodifikasi serta dimodenkan.
Dalam hal ini, dengan adanya wacana yang bukan sahaja sesuai, juga tepat untuk setiap ranah penggunaannya, bahasa Melayu didapati mampu sekali dalam menyediakan gaya yang diperlukan dalam semua suasana kebahasaan.
Sesungguhnya kedua-dua perancangan status dan korpus adalah usaha penghasilan.
Dengan ini, bermakna kedua-duanya adalah proses mewujudkan sesuatu. Untuk perancangan status, taraf bahasa Melayu selaku bahasa negara diwujudkan.
Bagi perancangan korpus, diadakan perubahan pada ejaan dan tulisan di samping yang lain-lain.
Natijahnya, sejauh manakah kesemua yang dihasilkan itu, sama ada pada perancangan status, mahupun korpus bahasa Melayu, betul-betul diterima oleh pengguna.
Dengan kata lain, adakah kesemua kepentingan ini, antaranya bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan peraturan baharu tentang ejaan dan tulisan bahasa Melayu bukan sahaja diendahkan, juga diterima untuk penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul selain penuh dengan kebanggan.
Sebenarnya inilah sisi perancangan bahasa yang tidak banyak diberikan perhatian. Untuk ini, ada keperluan untuk diadakan perancangan prestij, iaitu usaha untuk mengetahui penerimaan apa-apa yang dihasilkan itu melalui perancangan status dan korpus bahasa Melayu.
Dengan ini, perancangan prestij bahasa Melayu adalah usaha untuk menilai penghormatan dan penyanjungan terhadapnya berdasarkan kedudukannya sebagai bahasa negara.
Secara umumnya prestij bahasa Melayu, baik dari segi status mahupun korpusnya, adalah kurang, malah dalam sesetengah kes langsung tidak dihormati dan disanjungi. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada statusnya sebagai bahasa negara yang masih terus-terusan dipertikai dalam pelbagai cara.
Antaranya tentang statusnya sebagai bahasa rasmi tunggal yang mahu dineutralkan dengan ikut mengangkat bahasa lain sebagai bahasa rasmi bersama.
Begitu juga dengan sikap acuh tidak acuh terhadap kejayaannya pada korpus yang dibangunkan dari pelbagai segi. Dengan adanya sikap ini, sebarang usaha untuk mempertingkat kualiti pada korpus bahasa Melayu, selalu disambut dengan resmi tidak endah untuk ikut menjayakan sesuatu yang dihasilkan itu.
Dengan ini, apa-apa jua yang dihasilkan itu tidak pun dipedulikan.
TAMBAH BAIK
Setelah 70 tahun bahasa Melayu dibangunkan dari segi status dan korpusnya, penerimaan kurang positif sebegini bukan sahaja sangat tidak baik. Juga hendaklah ditangani agar keadaan prestij bahasa Melayu yang kurang itu dapat ditingkatkan.
Untuk ini, terdapat keperluan mendesak bagi mengadakan audit perancangan bahasa. Barangkali boleh bersifat pemeriksaan yang mengambil kira beberapa sisi.
Yang pertamanya ialah pelaku, iaitu pihak yang menentukan sifat perancangan bahasa. Sehingga kini, perancangan bahasa di mana-mana jua bersifat daripada pemerintah kepada rakyat.
Melalui cara ini, pihak yang mempunyai wibawa memutuskan apa-apa jua dasar tentang status dan peraturan mengenai korpus. Dengan ini, pihak terbabit secara langsung dengan keputusan itu tidak pun dilindungi.
Mungkin sudah tiba masanya pihak pemerintah melibatkan penyertaan rakyat secara lebih meluas. Ini penting supaya mereka yang menjadi sasaran perancangan bahasa turut diajak bersama dalam proses perancangan tersebut.
Begitu juga dengan penglibatan mereka dalam melaksanakan apa-apa yang dirancangkan itu.
Sasaran sesuatu yang dirancangkan adalah perkara penting seterusnya. Ini adalah untuk memastikan hasilannya menjadi.
Bagi tujuan ini, ganjaran dan hukuman perlu dinyatakan dengan jelas supaya sasaran, sama ada individu mahupun pertubuhan, memahami manfaat serta kesan setiap tindakan. Selain itu, matlamat perancangan bahasa juga harus diterangkan dengan jelas kepada rakyat agar mereka memahami sebab sesuatu perubahan tingkah laku kebahasaan diperlukan.
Antara tujuannya termasuklah memelihara ketulenan bahasa dengan mengutamakan penggunaan bahasa asal berbanding bentuk yang dipinjam daripada bahasa lain.
Keadaan pelaksanaan perancangan bahasa turut memainkan peranan penting kerana menentukan keberkesanan dan impak yang dihasilkan.
Faktor seperti politik, ekonomi, sosial dan budaya perlu diambil kira. Sebagai contoh, melalui dasar politik seperti penggubalan Akta Nasionaliti, setiap rakyat diwajibkan menguasai bahasa negara dalam kemahiran membaca, menulis dan bertutur.
Dari segi pendekatan pula, perancangan bahasa boleh dilaksanakan melalui promosi, bujukan atau paksaan. Namun, pendekatan yang disokong oleh kuasa serta dasar kerajaan, khususnya melalui naratif nasionalisme, sering lebih berkesan dalam membentuk kesetiaan dan penerimaan masyarakat.
Perancangan prestij bahasa Melayu amat penting bukan sahaja untuk menilai tahap penerimaan rakyat terhadap bahasa kebangsaan tetapi juga sebagai asas merangka perancangan seterusnya.
Perancangan ini boleh dilaksanakan secara makro oleh kerajaan dan agensinya, serta secara mikro oleh pihak bukan kerajaan seperti pertubuhan dan individu. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










