Dembele pemain terbaik League 1

Dembele pemain terbaik League 1

Ousmane Dembele sekali lagi dipilih sebagai pemain terbaik Ligue 1. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele sekali lagi dipilih sebagai pemain terbaik Ligue 1 selepas membantu kelab itu ke final Liga Juara-Juara Eropah, musim ini.

Pemain berusia 28 tahun itu mempertahankan anugerah berkenaan bagi musim kedua berturut-turut, sekali gus menjadi pemain kelima melakukannya sejak anugerah itu diperkenalkan.

Pemain terakhir memenangi anugerah berkenaan dua musim berturut-turut adalah legenda Sweden, Zlatan Ibrahimovic pada 2014.

Dembele tahun lalu menggantikan Kylian Mbappe yang memenangi anugerah itu lima kali berturut-turut sebelum berpindah ke Real Madrid.

“Ia trofi individu tetapi semua anugerah individu yang saya menangi adalah hasil bantuan pasukan ini,” kata Dembele yang mempamerkan aksi cemerlang bersama PSG.

Walaupun dibelenggu kecederaan sepanjang musim, Dembele tetap berjaya menyerlah bersama PSG khususnya pada kedua-dua aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern. .

Dembele hanya memulakan sembilan perlawanan Ligue 1 musim ini dengan jumlah 960 minit permainan, berbanding 20 penampilan utama dan 1,736 minit pada musim lalu.

Bagaimanapun, penyerang skuad kebangsaan Perancis itu masih mampu meledak 10 gol dan mencipta enam bantuan jaringan.

Selain semakin hampir mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, PSG pula hampir pasti menjulang kejuaraan Ligue 1 sekali lagi selepas kemenangan 1-0 ke atas Brest meletakkan mereka enam mata di depan Lens dengan baki dua perlawanan.

Anak buah Luis Enrique juga memiliki kelebihan perbezaan gol yang besar dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata ketika bertemu Lens untuk mengesahkan kejuaraan kelima berturut-turut.

PSG turut bersiap sedia menghadapi final Liga Juara-Juara menentang Arsenal hujung bulan ini selepas menyingkirkan Bayern Munich dengan agregat 6-5 pada separuh akhir.

Sementara itu, rakan sepasukan Dembele, Desire Doue dipilih pemain muda terbaik manakala pengendali Lens, Pierre Sage diumumkan sebagai jurulatih terbaik musim ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN