LYON: Juara tujuh kali Ligue 1, Lyon akan membuat rayuan susulan penyingkiran mereka ke divisyen dua oleh badan pemerhati kewangan bola sepak Perancis (DNCG).
Dalam pendengaran semalam, Lyon gagal meyakinkan badan itu untuk membatalkan sekatan mereka ke atas kelab pada November.
“Sepanjang beberapa bulan lalu, kami bekerjasama dengan DNCG, memenuhi segala permintaan mereka,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Lyon layak ke Liga Europa musim depan selepas menamatkan saingan di tangga keenam Ligue 1 namun jika rayuan mereka gagal dan kekal tersingkir ke Ligue 2, tempatnya di Ligue 1 akan digantikan Reims.
Lyon menang tujuh kali berturut-turut dalam saingan liga tertinggi Perancis dari tahun 2002 hingga 2008 di bawah Aulas.
“Satu tragedi buat mereka yang menyintai Lyon. Selama 36 tahun saya memastikan situasi seperti itu tidak berlaku.
“Saya memberikan segalanya untuk membina kelab yang teguh, dihormati, berwawasan dan kukuh daripada segi kewangan. Hari ini ia cukup menyedihkan,” kata bekas presiden Lyon Jean-Michel Aulas yang merekodkan banyak kejayaan bersama kelab itu.
Lyon kini dipimpin presiden baharu iaitu John Textor mengambil alih kelab pada Disember 2022, menggantikan Aulas.
Textor, 59, turut mempunyai pegangan saham di kelab Brazil, Botafogo dan kelab Belgium, Molenbeek tetapi awal minggu ini, dia menjual 43 peratus sahamnya dalam kelab Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace. – AGENSI/UTUSAN









