Chun Chen raih emas piala cabaran dunia

Chun Chen raih emas piala cabaran dunia

Ng Chun Chen (tengah) merangkul pingat emas buat negara dalam acara vault Kejohanan Piala Cabaran Dunia Gimnastik Artistik FIG di Varna, Bulgaria, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet gimnas artistik lelaki negara, Ng Chun Chen mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Kejohanan Piala Cabaran Dunia Gimnastik Artistik FIG selepas menjuarai acara vault di Varna, Bulgaria, semalam.

Pada aksi final itu, Chun Chen mengumpul 14.183 mata untuk mengatasi wakil tuan rumah Bulgaria yang meraih perak dengan 14.083 mata manakala gangsa milik gimnas Hungary selepas memperoleh 14.049 mata.

Pengarah Teknikal Gimnastik Artistik Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Mohd Faiz Mohd Ameer menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian cukup besar buat gimnas artistik lelaki (MAG) negara.

“Alhamdulillah kita berjaya capai pingat emas pertama Malaysia dalam World Cup untuk MAG. Ini adalah sejarah buat gimnas negara dan satu pencapaian yang cukup bermakna.

“Prestasi Chun Chen memang berada pada tahap terbaik ketika ini kerana kami sedang membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Faiz turut menjelaskan, kejayaan itu juga hasil usaha keras barisan kejurulatihan yang banyak membantu meningkatkan tahap persembahan atlet negara.

“Chun Chen seorang atlet yang sangat berdisiplin. Walaupun karakter dia nampak santai dan suka bergurau, tetapi itu sebenarnya membantu dia berada dalam mood terbaik ketika bertanding.

“Kami memang sudah yakin dengan peluang untuk menang kali ini kerana tahap persembahan dia sudah berada pada standard yang tinggi,” ujarnya.

Selain Chun Chen, jaguh gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam turut mara ke final acara vault, namun melakukan sedikit kesilapan pada lompatan kedua sehingga terlepas peluang menghadiahkan pingat buat Malaysia.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, kejayaan di Bulgaria menjadi suntikan moral terbaik buat skuad gimnas negara menjelang beberapa kejohanan besar selepas ini termasuk Kejohanan Asia, Sukan Asia dan Sukan Komanwel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×