Cedera paksa Joe Ee akhiri karier

Cedera paksa Joe Ee akhiri karier

Ng Joe Ee menunjukkan pingat gangsa dimenanginya dalam acara individu Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bintang gimrama negara, Ng Joe Ee mengumumkan persaraannya serta-merta pada usia 20 tahun, selepas sekadar raih gangsa di Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin.

Bagaimanapun, kegagalan meraih emas bukan punca utama Joe Ee bersara, sebaliknya dia sudah tidak mampu menahan kesakitan selepas berdepan beberapa siri kecederaan.

Pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mengakui keputusan berat tersebut terpaksa diambil apabila tubuhnya tidak lagi memberikan tindak balas seperti dahulu.

Jelas Joe Ee, kecederaan terutama sakit di bahagian leher, belakang badan serta kecederaan baharu di buku lali kiri telah memberi tekanan kepadanya sepanjang persiapan ke Sukan SEA Thailand.

Tegasnya, sebelum menyertai temasya dwitahunan tersebut dia turut mengambil lebih enam suntikan ubat tahan sakit dan berehat sebulan sebelum kembali menjalani latihan.

“Saya tahu ramai yang terkejut kerana saya baru berusia 20 tahun sedangkan atlet lain mampu bertahan sehingga 24 atau 25 tahun, tetapi ini soal badan saya. Kesihatan saya lebih penting.

“Badan saya sudah tidak mampu bertahan. Sakit belakang saya sudah lama dialami sejak Sukan Komanwel dan kini ditambah dengan kecederaan buku lali kiri.

“Apabila saya melompat dan mendarat dengan kaki kiri serta ketika saya mengimbangi badan, begitu menyakitkan. Saya menahan kesakitan ini hampir sebulan.

“Setiap kali melangkah masuk ke pintu pusat latihan, hati saya berasa sangat berat. Saya sering berfikiran negatif bahawa saya tidak mampu lakukannya lagi.

“Jadi, apabila tiba masanya untuk berhenti, saya perlu berhenti. Saya tidak boleh tahan lagi,”katanya dalam nada sebak.

Dalam aksi terakhirnya di sini, Joe Ee yang menyasarkan pingat emas terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara individu all-around dengan mengumpul keseluruhan 96.890 mata selepas melengkapkan keempat-empat apparatus – gelung, bola, belantan dan reben.

Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Joe Ee mengesahkan akan beralih ke bidang kejurulatihan untuk melatih bakat muda di peringkat kelab, namun menolak sebarang kemungkinan untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Saya sudah dapat tawaran menjadi jurulatih terutama membangunkan bakat muda. Tetapi bukan menjadi jurulatih skuad kebangsaan,” ujarnya.

Joe Ee turut menyuarakan keyakinan terhadap generasi baharu atlet gimrama Malaysia, sambil menggesa mereka yang benar-benar mencintai sukan ini supaya terus mengejar impian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN