Pengorbanan Rachel terlalu besar

Pengorbanan Rachel terlalu besar

Aksi Rachel Yeoh beraksi dalam acara palang bertingkat sebelum menghadiahkan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, Bangkok, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Biarpun dinasihatkan untuk bersara dalam sukan gimnastik akibat kecederaan, amaran itu ternyata tidak mematahkan semangat Rachel Yeoh untuk bangkit membutirkan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.

Pengorbanan menjalani proses pemulihan rawatan dan menjalani latihan tanpa henti ternyata ternyata berbaloi apabila beliau berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara kegemarannya, palang bertingkat

Dalam aksi final yang berlangsung di Gimnasium Thammasat University itu, Rachel tampil dengan aksi memukau dan kemas untuk mengumpul 13.300 mata untuk mengatasi dua pencabar dari Filipina, Haylee Garcia (12.300) dan Colleen Hong Kaijia dari Singapura (10.933)

Mendedahkan detik sukar yang hampir memusnahkan kariernya, gimnas kelahiran Pulau Pinang itu mengakui pernah berdepan kecederaan Posterior Cruciate Ligament (PCL) yang serius dan menjalani pembedahan pada 2017.

“Doktor semua cakap tak payahlah main gimnastik lagi. Kecederaan lutut saya sangat teruk.

“Tetapi bagi saya, saya rasa saya masih boleh pergi jauh. Saya paksa diri kerana sukan gimnastik adalah nyawa dan karier saya, jadi saya enggan mengalah,” katanya.

Kejayaan menuai emas ketiga peribadinya di pentas Sukan SEA ini disifatkan sebagai satu kepuasan selepas terpaksa ‘berkampung’ di Institut Sukan Negara (ISN) setiap hari bagi menjalani proses rehabilitasi yang menyakitkan.

Jelas Rachel, selain bergelut dengan fizikal, dia juga bertarung dengan kekuatan mental sendiri sebelum melangkah ke gelanggang hari ini.

“Saya sebenarnya ‘berlawan’ dengan diri saya sendiri. Kemahiran semua sudah ada, cuma cabaran mental sering mengganggu.

“Hari ini saya berjaya atasinya. Emas ini adalah bukti kebangkitan saya dan saya dedikasikan kepada semua yang menyokong ketika saya jatuh,” ujarnya.

Beliau kini memasang impian besar untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028), selain bersedia beraksi di laman sendiri pada Sukan SEA 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN