Rapid KL perkenal van perantara tambang RM1 mulai 24 Oktober - Utusan Malaysia

Rapid KL perkenal van perantara tambang RM1 mulai 24 Oktober

rapid kl
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid KL akan melaksanakan projek rintis perkhidmatan van perantara dengan tambang RM1 bagi setiap perjalanan bermula 24 Oktober ini tanpa memerlukan pengguna membuat tempahan menerusi aplikasi Rapid On-Demand.

Projek rintis selama tiga bulan itu akan menggunakan model perkhidmatan berasaskan laluan dan jadual tetap bagi memperkukuh ketersambungan pengangkutan awam, khususnya akses pengguna ke stesen rel berhampiran.

Rapid KL berkata, fasa pertama pelaksanaan projek itu melibatkan dua laluan Rapid KL On-Demand (ROD) iaitu T400B dari Bandar Tun Razak ke Taman Midah dan T512B dari Presint 11 ke Stesen Putrajaya Sentral.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, perkhidmatan ROD bagi kedua-dua laluan berkenaan akan ditutup sementara sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis tersebut.

“Melalui model operasi ini, pengguna boleh terus menaiki van di stesen dan hentian yang telah ditetapkan tanpa perlu membuat tempahan melalui aplikasi Rapid On-Demand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rapid KL berkata, pembayaran tambang boleh dibuat menggunakan kad debit, kad kredit dan kad Touch ’n Go menerusi sistem pembayaran terbuka.

Katanya, pemegang Kad Konsesi MyRapid turut menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus manakala pemegang pas Rapid Mesra boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan secara percuma.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, projek rintis tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Rapid KL untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Melalui projek rintis ini, Rapid KL akan menilai model operasi berasaskan laluan dan jadual tetap dalam memperkukuh ketersambungan batuan pertama dan terakhir, sekali gus memudahkan akses komuniti ke stesen rel berhampiran.

“Rapid KL akan turut memantau penggunaan, prestasi operasi dan maklum balas pengguna bagi mendapatkan gambaran terhadap penerimaan serta keberkesanan inisiatif ini.

“Hasil penemuan sepanjang tempoh pelaksanaannya akan digunakan sebagai rujukan dalam mempertimbangkan penambahbaikan perkhidmatan pada masa hadapan,” katanya.

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam melalui sistem mobiliti yang lebih bersepadu, mudah diakses dan mampan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini