Fenomena Super El Nino ubah warna lautan dunia - Utusan Malaysia

Fenomena Super El Nino ubah warna lautan dunia

LAUTAN bertukar warna akibat Super El Nino.- NASA's Scientific Visualization Studio
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Fenomena Super El Nino telah mengubah warna lautan dunia, menurut dapatan imej satelit terbaharu daripada agensi Pentadbiran Aeronautik dan Ang­kasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Satelit itu menunjukkan kawasan Lautan Pasifik Khatulistiwa bertukar daripada warna hijau zamrud kepada biru terang sejak tahun lalu.

El Nino mengganggu arus laut yang membawa air sejuk kaya dengan nutrien ke permukaan, yang penting untuk proses fotosintesis plankton. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Organisma itu menjadikan kawasan yang didiaminya berwarna hijau zamrud yang memukau.

Tanpa bekalan nutrien pen­ting itu, plankton kebuluran, menyebabkan warna biru gelap yang tandus dan kurang kehidupan kembali menyelubungi Lautan Pasifik.

Perbandingan sebelah menye­belah dengan data satelit dari tahun 2025 menunjukkan ba­gai­mana kawasan berkenaan mengekalkan rona hijau tipikal­nya sepanjang tahun lalu.

Namun, menerusi data paling terkini yang meliputi sehingga bulan ini, kawasan di sekeliling garisan khatulistiwa itu telah bertukar menjadi biru pekat.

El Nino merupakan sebahagian daripada kitaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Ayunan Selatan El Nino (ENSO).

Setiap dua hingga tujuh tahun, corak iklim ini membawa sama ada fasa El Nino yang panas atau fasa La Nina yang lebih sejuk.

Semasa fasa El Nino, arus air panas berkumpul di Pasifik Khatulistiwa berhampiran pantai Amerika Selatan, sekali gus meningkatkan suhu purata dan menjejaskan corak cuaca global.

Para saintis kini percaya bahawa dunia sedang berada di peringkat awal kitaran El Nino berskala besar yang berpotensi membawa kesan bencana dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan sepanjang tahun 2027.

Setakat Oktober, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) meramalkan terdapat 83 peratus peluang bahawa fenomena ini bakal menjadi El Nino paling kuat pernah direkodkan sejak catatan bermula pada tahun 1950. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini