JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 88,460 liter diesel bernilai RM457,338 susulan serbuan di sebuah premis logistik di Jalan Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan, semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, hasil maklumat awam pukul 11.30 pagi, operasi berkenaan dijalankan Unit Risik Marin (URM) Johor dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan.
“Pemeriksaan di premis Padiayapa Logistic (M) Sdn. Bhd. itu mendapati minyak diesel disimpan dalam lori tangki, tangki jenis skid tank dan square tank.
“Walaupun pemilik premis mempunyai dokumen berkaitan bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA), jumlah simpanan diesel didapati melebihi kuantiti dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun turut gagal mengemukakan buku stok ketika pemeriksaan dilakukan.
Katanya, antara barangan yang dirampas dua lori hijau jenis Mitsubishi Fuso dan Isuzu, tiga buah skid tank berkapasiti 20,000 liter, dua buah skid tank berkapasiti 10,000 liter, sebuah square tank serta 88,460 liter diesel.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,269,838 termasuk kenderaan dan peralatan yang disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tangkapan serta rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDN Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN











