Dr. Akmal jual motosikal, ikan tilapia tampung bayar ganti rugi RM300,000 - Utusan Malaysia

Dr. Akmal jual motosikal, ikan tilapia tampung bayar ganti rugi RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengambil keputusan menjual motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya bagi mengumpul wang untuk membayar ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Muhamad Akmal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati wang simpanannya masih tidak mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan seperti yang diperintahkan mahkamah.

Menurut beliau, meskipun terdapat cadangan supaya tabung sumbangan dibuka bagi membantunya, beliau memilih untuk berusaha sendiri terlebih dahulu tanpa membebankan orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejujurnya, saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah tersebut akan saya pikul sepenuhnya.

“Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu. Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing.

“Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,” katanya di media sosial hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Muhamad Akmal membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah susulan kenyataan menerusi video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.

Muhamad Akmal bagaimanapun tidak hadir ketika Hakim Datuk Isa Aziz Ibrahim membacakan keputusan berhubung kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, motosikal dan ikan tilapia ternakannya merupakan dua aset yang telah habis dibayar dan boleh dijual bagi mendapatkan wang tersebut.

Katanya, beliau tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk menampung jumlah ganti rugi berkenaan.

“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat.

“Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau membuka bidaan bagi kedua-dua aset berkenaan dengan menetapkan deposit sebanyak RM100 kepada individu yang berminat.

Menurutnya, pembida perlu mengemukakan resit pembayaran bersama maklumat aset yang ingin dibida serta jumlah tawaran manakala deposit akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan sokongan, doa dan kata-kata semangat kepadanya.

“Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.

“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini