KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengesahkan pihaknya sedang melaksanakan perubahan struktur dalam sektor perseorangan menjelang musim ini.
Beliau berkata, penilaian terperinci telah dilakukan bagi mengenal pasti keperluan semasa dan masa hadapan, termasuk penambahan jurulatih serta penyusunan semula sistem latihan untuk memperkukuh prestasi pemain.
“Untuk 2026, akan ada perubahan struktur termasuk penambahan jurulatih dan penyesuaian organisasi bagi memperkukuh sistem sedia ada.
“Pendekatan ini bukan penyelesaian pantas kerana matlamat saya adalah membina laluan pembangunan yang jelas dari peringkat junior hingga senior dengan semua pihak bekerja sebagai satu pasukan,” kata Kenneth kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, kelmarin.
Apabila ditanya bila perubahan struktur ini dapat direalisasikan, Jonassen berkata, masa yang tepat menjadi faktor penting dalam memilih jurulatih yang sesuai untuk dilantik.
“Secepat mungkin, tetapi penting untuk mendapatkan jurulatih yang tepat pada masa yang tepat.
“Proses ini sedang berjalan dengan baik dan saya berharap dapat berkongsi maklumat dengan semua, tetapi terlebih dahulu kepada jurulatih sedia ada supaya mereka memahami perubahan yang bakal dilaksanakan,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas ketua jurulatih kebangsaan Ireland, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita.
Pelantikan ini merupakan perubahan ketiga dalam kem perseorangan selepas Jonassen dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan pada November 2023 sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Kejurulatihan pada Mac tahun lalu. – UTUSAN










