PRN Sabah: Siapa mampu menjawab tuntutan rakyat?

PRN Sabah: Siapa mampu menjawab tuntutan rakyat?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin terasa bahangnya, dengan suhu politik negeri itu mencapai tahap paling panas dalam sejarah moden.

Pertembungan kali ini bukan sahaja menampilkan jumlah calon paling ramai dengan sebanyak 596 orang bertanding bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mengatasi rekod 447 calon pada 2020 tetapi juga menandakan ketidaktentuan politik yang sedang merayap di seluruh negeri.

Walaupun angka besar ini dipuji sebagai manifestasi keterbukaan demokrasi, namun tetap membawa bersama risiko hebat apabila undi yang berpecah kepada terlalu banyak calon, kemenangan berdasarkan peratus undi kecil dan potensi kerajaan minoriti yang rapuh pasca PRN.

Di tengah-tengah kemeriahan politik ini, satu perkara masih kekal utuh, naratif ‘Sabah for Sabahan’ yang menjadi denyut nadi politik Sabah sejak sekian lama, kembali menguat selari kebangkitan isu antaranya autonomi negeri, kedudukan agama rasmi, pendidikan dan hak imigresen.

Pengundi lebih dewasa melihat naratif ini sebagai kesinambungan perjuangan identiti, manakala pengundi muda mengaitkannya dengan keperluan ekonomi yang lebih mendesak merangkumi pekerjaan stabil, kos sara hidup lebih rendah, pendidikan berkualiti dan infrastruktur digital setanding negeri lain.

Dalam konteks ini, naratif tempatan tidak lagi memadai jika berdiri sebagai slogan sebaliknya perlu diterjemah kepada pelan pembangunan yang boleh diukur dan disemak.

Penganalisis politik, Muhammad Afifi Abdul Razak, melihat PRN kali ini sebagai medan yang dipengaruhi secara kuat oleh keletihan politik. Sejak 2018, Sabah mengalami tiga perubahan kerajaan, sesuatu yang jarang berlaku dalam pentadbiran mana-mana negeri. Ini menyebabkan rakyat semakin skeptikal terhadap janji politik yang sering diulang namun masih jauh daripada realiti khususnya dalam isu air terawat, pembangunan luar bandar dan penurunan kadar kemiskinan.

“Keletihan politik memberi kesan langsung terhadap keputusan PRN. Ia bukan sahaja boleh menumpulkan minat pengundi untuk keluar mengundi tetapi juga mendorong mereka memilih berdasarkan personaliti tempatan yang dipercayai, bukannya manifesto parti semata-mata,” katanya ketika dihubungi.

PRN 2020 mencatatkan kadar keluar mengundi yang rendah dengan hanya 66.28 peratus, jauh merosot daripada angka lebih 80 peratus dalam pilihan raya sebelumnya.

Persaingan kali ini tersusun dalam dua arus utama iaitu parti tempatan dan gabungan nasional. Parti-parti seperti Parti Warisan (Warisan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) membawa kekuatan dalam memahami denyut nadi rakyat Sabah serta memainkan peranan penting dalam perjuangan hak negeri termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan. Namun mereka juga dibayangi kekangan sumber kewangan, struktur organisasi tidak sekukuh gabungan nasional dan rekod pentadbiran yang pernah dipersoalkan.

“Sebaliknya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) tampil dengan kekuatan jentera, pengalaman pentadbiran dan akses lebih jelas kepada peruntukan Persekutuan.

“Namun mereka tidak terlepas daripada kritikan sebagai parti dari Semenanjung yang sukar memahami keunikan Sabah sepenuhnya.

“Penarikan diri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai calon Tempasuk membuka ruang kepada wajah-wajah muda, malah strategi ini berupaya menarik undi belia tetapi dalam masa sama menimbulkan persoalan sama ada BN mampu mengekalkan pengaruh tanpa tokoh berprofil tinggi seperti beliau,” katanya.

Dalam keghairahan berkempen, isu infrastruktur tetap menjadi keresahan terbesar rakyat Sabah. Jalan rosak, bekalan air tidak stabil dan kemudahan asas yang ketinggalan tidak lagi boleh disapu dengan retorik pembangunan.

Pengundi menuntut pelan pelaksanaan yang secara jelas menyatakan peruntukan, tempoh masa, laporan kemajuan berkala serta sumber pembiayaan sama ada daripada kerajaan negeri, Persekutuan atau sektor swasta.

PRN kali ini menunjukkan rakyat tidak lagi mengundi berdasarkan janji tetapi berdasarkan kemampuan realistik untuk menyelesaikan masalah.

Di tengah persaingan sengit itu, nama Datuk Ewon Benedick menjadi antara sorotan utama. Keputusannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi selepas tidak bersetuju dengan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan mahkamah berkaitan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan mengejutkan banyak pihak. Langkah itu dianggap bukti keberanian politik yang jarang berlaku dalam kalangan pemimpin muda. Ewon bukan sekadar menolak keputusan kerajaan sebaliknya mempertaruhkan kedudukan sendiri demi prinsip yang dikaitkan dengan kepentingan Sabah.

Rekod prestasinya turut menguatkan naratif kepimpinan tersebut. Beliau bukan sahaja memenangi kerusi DUN Kadamaian tetapi juga menewaskan pencabar lain di Penampang dengan majoriti lebih 23,000 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun langkah politiknya tidak bebas daripada risiko. Pertandingan pelbagai penjuru dalam kawasan Kadazandusun/Dusun, kekangan dana untuk berkempen di 25 kerusi, serta memori pahit prestasi UPKO pada PRN 2020 menambah tekanan besar terhadap parti yang dipimpinnya.

Menurut Afifi, tindakan Ewon adalah pertaruhan yang boleh mengubah masa depan politik Sabah, sama ada ke arah kegemilangan atau kegagalan.

“Jika UPKO berjaya menambah tiga hingga lima kerusi, Ewon akan muncul sebagai wajah baharu perjuangan autonomi Sabah.

“Namun jika UPKO gagal mempertahankan Kadamaian atau dan tidak menambah sebarang kerusi, kredibilitinya sebagai pemimpin tempatan akan terjejas.

“Lebih mencabar lagi, beliau perlu memastikan rakyat memahami royalti 5 peratus petroleum dan tuntutan 40 peratus hasil bersih adalah dua perkara berbeza iaitu yang pertama berkaitan hasil minyak, manakala yang kedua adalah hak Perlembagaan Sabah yang diiktiraf oleh mahkamah,” katanya.

RISIKO KEMENANGAN TIPIS

Menambahkan lagi kerumitan PRN kali ini ialah kehadiran 74 calon bebas dan sehingga 14 calon di Tulid. Fragmentasi undi pada tahap ini bukan sahaja menyukarkan mana-mana parti memperoleh majoriti kukuh tetapi juga membuka risiko kemenangan dengan hanya 20 hingga 25 peratus undi.

Situasi ini membangkitkan persoalan legitimasi terhadap kerajaan baharu dan boleh mencetuskan suasana tidak stabil, termasuk kemungkinan lompat parti.

Dalam pertembungan yang semakin sengit ini, parti politik berusaha memposisikan diri sebagai suara sebenar rakyat Sabah. Ada yang mengangkat rekod pentadbiran, ada yang menekankan identiti tempatan dan ada yang mempertaruhkan keberanian politik sebagai modal kempen.

Namun di sebalik segala poster berwarna-warni dan slogan yang memekik di udara, keresahan rakyat masih sama, mereka menunggu penyelesaian konkrit terhadap masalah asas yang berlarutan terlalu lama.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN