Pintu belum tertutup

Pintu belum tertutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal menjadi talian hayat terakhir buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menafikan hukuman ke atasnya jika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan dan mengekalkan keputusan sebelum ini.

Begitupun, sehingga kini FAM memaklumkan mereka masih menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada, selain mengakui wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli menjelaskan, langkah pertama boleh dilakukan FAM adalah membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan dan jika FAM masih tidak berpuas hati, rayuan seterusnya boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengikut Artikel 52 Kod Disiplin FIFA 2025 (FDC).

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa peraturan yang termaktub memang jelas sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan kesalahan, mereka akan dikenakan tindakan sedemikian.

Justeru, FAM harus melihat perkara ini daripada pelbagai sudut agar mereka boleh menyediakan dokumen sokongan sekali gus menindak keputusan FIFA itu.

“Kita perlu faham bahawa tuduhan di bawah Artikel 22 FDC adalah: 22. Pemalsuan dan Pemalsuhan iaitu mana-mana individu yang dalam aktiviti berkaitan bola sepak memalsukan dokumen, mengubah dokumen asli atau menggunakan dokumen palsu atau yang sudah diubah, akan dikenakan hukuman berupa denda dan penggantungan sekurang-kurangnya enam perlawanan atau bagi suatu tempoh tidak kurang daripada 12 bulan.

“Ini bukan tuduhan tidak ikut prosedur atau kekurangan dalam dokumen yang dikemukakan. Tuduhan ini sangat serius. Jadi, FAM perlu mengetahui apa dokumen yang dikatakan dipalsukan atau diubah dan kenapa FIFA mengatakan dokumen itu sudah dipalsukan atau diubah.

“Rayuan sekarang akan dibawa ke Appeals Committee FIFA. Jika FAM masih tidak berpuas hati, rayuan boleh dibawa ke CAS,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Tambah Nik Erman, tidak salah sekiranya FAM mahu menubuhkan pasukan peguam bagi menghadapi isu penggantungan FIFA, namun langkah itu bergantung kepada butiran penuh alasan keputusan yang dibuat badan induk bola sepak dunia itu.

Jelasnya, setakat ini belum ada kepastian mengenai dokumen mana yang dipersoalkan dan bahagian mana yang dikatakan telah diubah sehingga mencetuskan tindakan FIFA.

Justeru, sebarang tindakan undang-undang perlu dibuat secara berhati-hati dengan merujuk kepada fakta dan bukti yang jelas.

“Tidak salah jika FAM tubuhkan pasukan peguam, tetapi barisan peguam atau penasihat bergantung kepada apa alasan FIFA membuat keputusan sebegitu. Buat masa ini, kita tidak tahu apa dokumen yang terlibat, bahagian mana yang dikatakan diubah.

“Apabila sudah jelas alasan dan dokumen terlibat, FAM boleh mendapatkan nasihat pakar dari bidang-bidang terbabit, termasuk nasihat peguam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN