Penjawat awam penentu pelaksanaan Belanjawan 2026

Penjawat awam penentu pelaksanaan Belanjawan 2026

PENJAWAT AWAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa tekad jelas dengan misi signifikan iaitu kerajaan beriltizam untuk memulangkan semula hasil reformasi kepada rakyat.

Kerajaan memilih untuk memperbaiki tatakelola dengan melaksana pelbagai langkah pembanterasan rasuah, penyelewengan, mengekang penyeludupan, memecah tembok dan melumpuhkan kartel, sekali gus menyelamatkan dana negara yang dapat digunakan untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

Kejayaan reformasi tatakelola membolehkan kerajaan membentangkan belanjawan yang tidak membebankan rakyat sebaliknya menampilkan pelbagai inisiatif tambahan bagi meningkatkan kualiti hidup anggota masyarakat.

Matlamat kerajaan jelas, yakni banteras rasuah, selamatkan dana negara dan bantu rakyat. Maka bagi mencapai matlamat tersebut naskah belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan Rakyat’ dengan peruntukan sebanyak RM419.2 bilion perlu segera diterjemahkan untuk melonjakkan siling pertumbuhan negara dan lantai kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks ini setiap agensi kerajaan serta penjawat awam yang bertindak sebagai tulang belakang dan kelompok pelaksana dasar perlu memikul amanah sekali gus merealisasikan perancangan belanjawan dengan tangkas, cekap lagi efisien.

Ringkasnya, integriti dan akauntabiliti penjawat awam akan menjadi faktor penentu kejayaan pelaksanaan setiap intipati belanjawan yang dicadangkan.

Setiap penjawat awam perlu menghayati amanat Perdana Menteri yang memberi penekanan serius terhadap soal tatakelola. Hakikatnya inisiatif pembanterasan rasuah, penyelewengan dan ketirisan melalui penguatkuasaan tanpa pilih kasih bukan sahaja dapat mengembalikan berbilion ringgit hasil negara yang hilang, sebaliknya turut membantu membiayai pelaksanaan pelbagai projek bantuan rakyat serta pembangunan negara.

Perkara penting sebelum menjayakan belanjawan ini ialah kesedaran kepentingan integriti dalam diri setiap penjawat awam.

Aspek integriti perlu menjadi tunjang di setiap fasa perancangan dan juga pelaksanaan agar manfaat penuh sampai kepada rakyat. Integriti bukan soal rasuah, salah guna kuasa mahupun ketirisan semata-mata, sebaliknya perlu mencakupi kecekapan dalam proses merancang, melaksana, mengurus sumber secara optimum, menangani karenah birokrasi serta menyegerakan pelaksanaan sesuatu inisiatif.

Dalam fasa perancangan dan pelaksanaan, aspek paling penting ialah memastikan integriti dalam menetapkan tempoh masa serta carta perbatuan yang jelas. Ini bermaksud setiap inisiatif yang diumumkan perlu dimulakan dan diselesaikan dengan penuh amanah, di samping memastikan kumpulan sasaran menerima manfaat yang sepatutnya.

Perancangan juga perlu mengambil kira kepentingan integriti dalam proses pemantauan progres kerja yang dilaksanakan.

Pengurusan sumber secara optimum, cekap dan berhemat mencakupi soal peruntukan kewangan yang disediakan serta sumber manusia juga penting.

Walaupun kerajaan menyediakan peruntukan namun setiap agensi pelaksana perlu semak semula kos projek serta berusaha memastikan rakyat dan negara memperoleh pulangan setimpal dengan peruntukan dibelanjakan. Perlu elak elemen pemborosan selain pastikan tiada sebarang ketirisan.

Untuk itu, kita perlu memastikan pegawai yang diamanahkan memiliki nilai integriti serta kecekapan tinggi agar mampu memikul tanggungjawab dan menjayakan semua projek atau inisiatif ditetapkan.

Karenah birokrasi antara faktor klise yang menghantui integriti. Diharap setiap agensi berusaha melaksanakan reformasi dan menangani karenah birokrasi yang menyukarkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan dengan cepat dan cekap.

Dalam soal ini, diharap peruntukan sebanyak RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) akan memperkukuh usaha pasukan dalam merancang, menyelaras, memantau pelaksanaan reformasi dasar serta intervensi strategik secara menyeluruh dan bersepadu.

Kita meletakkan harapan tinggi kepada pasukan ini yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya mula meraih pelbagai kejayaan besar melalui inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi. Antaranya, lebih 1,000 projek berjaya diselaras, dengan penjimatan kos pematuhan melebihi RM1.1 bilion, sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia dalam senarai Daya Saing Dunia.

Dalam konteks sama, penumpuan kepada aspek pendigitalan perkhidmatan awam mampu mengurangkan karenah birokrasi, mempercepatkan proses kerja dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Integriti penjawat awam juga akan teruji untuk bertindak segera melaksanakan semua intipati dalam belanjawan khususnya yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Projek berkepentingan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB), prasarana asas desa (bina dan baiki jalan kampung, air bersih, elektrik, pembinaan sekolah baharu, pembinaan hospital, klinik serta fasiliti kesihatan tambahan) perlu dirancang dengan teliti, dilaksanakan dengan penuh berhemat dan segera.

Setiap projek perlu dinilai dengan ketat dan diberikan kepada syarikat yang berkeupayaan agar tidak tergendala seperti projek perumahan rakyat yang gagal disiapkan, sekali gus mengelak pembaziran selain memastikan manfaat sampai kepada golongan sasar.

Sebagai tulang belakang kerajaan, rakyat dan negara meletakkan tanggungjawab serta harapan besar di bahu setiap kementerian, agensi kerajaan mahupun penjawat awam. Ini kerana kunci kejayaan semua perancangan dan impian terletak di tangan penjawat awam sebagaimana disenaraikan dalam dokumen Belanjawan 2026.

Secara prinsipnya, setiap sen yang bakal dibelanjakan perlu memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan negara, khususnya sampai kepada golongan sasaran. Harus diingat lengah atau lewat menyediakan perkhidmatan yang diperlukan boleh dilabel sebagai berlaku tidak adil kepada kumpulan sasaran.

Ini juga masa terbaik untuk penjawat awam membalas segala jasa berterusan kerajaan yang menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif demi meningkatkan kebajikan seperti kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 serta Bantuan Khas Kewangan RM500.

Tuntasnya, penjawat awam perlu menjadikan integriti sebagai kunci utama yang menjayakan agenda Belanjawan 2026 dengan memastikan segenap lapisan rakyat merasai nikmat pembangunan dalam bentuk peluang, kesejahteraan hidup dan peningkatan taraf ekonomi.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×