Komen melampau netizen ganggu mental pemain - BAM

Komen melampau netizen ganggu mental pemain – BAM

Kenny Goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran keras kepada segelintir pengguna media sosial yang bertindak keterlaluan menyerang pemain negara dengan komen berbaur kebencian dan ugutan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan tindakan melampau itu bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menjejaskan mental serta prestasi atlet yang mewakili negara di pentas antarabangsa.

“Kita tak boleh biarkan perkara ini begitu saja, sebab itu BAM keluarkan kenyataan keras sebagai peringatan dan amaran kepada mereka yang suka mengugut pemain,” kata Kenny.

Beliau menegaskan BAM sentiasa berdiri teguh di belakang pemain dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan atlet.

“Kita bukan bercakap tentang komen membina, tapi ada komen sampai tahap ugutan nak bunuh orang, macam ‘saya tunggu di KLIA’, itu dah keterlaluan,” katanya.

Kenny turut menegur tindakan segelintir penyokong yang gagal mengawal emosi dan menggunakan media sosial sebagai tempat melepaskan kemarahan apabila keputusan perlawanan tidak memihak kepada pemain negara.

“Mungkin betul, media sosial sekarang ni ramai orang gila, sampai lupa sempadan bila bercakap,” katanya.

Jelas beliau, BAM akan terus memantau situasi ini dan memastikan langkah pencegahan diambil termasuk melalui panduan serta prosedur di bawah Akta Sukan Selamat.

“Tindakan ini penting untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan pemain agar mereka tidak terganggu secara mental dan emosi,” ujarnya.

Terdahulu, BAM dalam kenyataan kelmarin turut mengecam keras trend kebencian yang semakin menular di platform digital selepas beberapa pemain, termasuk beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menjadi sasaran serangan siber susulan kekalahan di Terbuka Perancis minggu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×