Beregu Jepun buat Pearly-Thinaah ‘terpukau’

Beregu Jepun buat Pearly-Thinaah ‘terpukau’

Pearly Tan-M. Thinaah melakukan persiapan menjelang aksi Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 11 Januari 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui kekalahan di tangan gandingan baharu Jepun, Arisa Higashino-Chiharu Shida pada Terbuka Denmark, kelmarin berpunca daripada hilang fokus dan tekanan pukulan lawan.

Thinaah berkata, sebagai pertemuan pertama menentang pasangan Jepun itu, mereka agak terkejut dengan corak permainan yang pantas dan penuh tekanan dari awal perlawanan.

“Ianya kali pertama kami menentang mereka dan beberapa pukulan mereka benar-benar beri tekanan kepada kami, terutama di hujung set pertama.

“Mereka sangat konsisten dalam memberi tekanan dan itu yang menyebabkan kami gagal menamatkan set pertama dengan baik,” kata Thinaah

Pearly pula mengakui kesilapan mudah yang dilakukan di set kedua menjadi punca utama kekalahan mereka dalam tempoh singkat 35 minit.

“Saya hilang fokus dan buat banyak kesilapan mudah, sebab itu saya asyik ingatkan diri untuk bangun semula dan lawan balik.

“Tetapi pukulan mereka sangat agresif dan itulah yang menutup peluang kami untuk kembali mengawal rentak permainan,” jelas Pearly.

Pasangan No.2 dunia itu tewas 18-21, 9-21 sekali gus menamatkan rentak kemenangan selepas muncul juara Terbuka Arctic di Finland, Ahad lalu.

Mengulas kombinasi baharu lawan, Thinaah mengakui gandingan Higashino-Shida memiliki kekuatan tersendiri yang menjadikan mereka sukar dibaca sepanjang aksi.

“Mereka ada kelebihan masing-masing dan bila digabungkan, ia jadi sesuatu yang berbeza. Jadi lain kali kami perlu bersedia lebih awal dan semak semula strategi kami,” katanya.

Pearly-Thinaah seterusnya akan berlepas ke Cesson Sevigne bagi mengaturkan pertemuan menentang beregu Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun di aksi pusingan pertama Terbuka Perancis yang membuka tirai saingannya Selasa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN