Speedy Tigress buru lima terbaik Asia

Speedy Tigress buru lima terbaik Asia

Skuad hoki wanita negara perlu menewaskan Singapura bagi menghidupkan peluang mereka untuk menamatkan kempen Piala Asia 2025 sebagai pasukan kelima terbaik. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara perlu menewaskan Singapura bagi menghidupkan peluang mereka untuk menamatkan kempen Piala Asia 2025 sebagai pasukan kelima terbaik kejohanan.

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui pasukannya itu perlu mendapatkan kemenangan dalam baki tiga perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan dalam satu kumpulan secara round-robin.

Malaysia dijadual bertemu Singapura di Stadium Gongshu Canal Sports Park, hari ini sebelum bertemu Thailand (esok) dan Taiwan (Sabtu).

Dua pasukan terbaik akan layak beraksi di tempat kelima dan Nasihin menuntut semua pemainnya memberikan aksi terbaik mereka bagi membuktikan Speedy Tigress layak menjadi salah sebuah pasukan terbaik di Asia.

“Untuk perlawanan Singapura, saya mahu pemain memberikan segalanya seperti mereka bertemu Taiwan (menang 11-1) dan sasaran saya adalah pemain boleh mencatat kemenangan dengan selesa pada semua baki perlawanan kali ini.

“Pemain juga perlu menunjukkan kepada hoki Asia bahawa kita adalah pasukan yang boleh menandingi pasukan yang berada di kelompok empat terbaik. Saya mahu pemain berikan yang terbaik dan layak menjadi salah satu pasukan terbaik di Asia,” katanya.

Malaysia tewas 0-5 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A kelmarin dan mengulas lanjut, Nasihin mengakui kekerapan melakukan kesilapan ketika membuat hantaran antara punca kekalahan pasukan.

“Kita main padat di bawah dengan baik tapi kita tewas apabila kita beri ruang kepada lawan di mana semasa membina permainan, pemain banyak buat kesilapan ketika membuat hantaran. Lawan menghukum barisan pertahanan dengan serangan balas,” katanya.

Nasihin turut berkata beberapa keputusan pengadil boleh dipertikaikan apabila Malaysia sepatutnya diberikan pukulan sudut penalti namun tidak menerimanya dan laporan sudah dibuat kepada pengadil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN