PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara berada di landasan terbaik untuk menamatkan kempen Piala Asia 2025 sebagai pasukan kelima terbaik susulan kejayaan membelasah Thailand 6-2 dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan, kelmarin.
Begitu pun, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim enggan terlalu selesa, malah mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi menjelang aksi menentang Taiwan di Hangzhou, hari ini.
“Bagi menghadapi Taiwan esok (hari ini), kita akan pastikan macam mana persiapan dibuat menghadapi Thailand kita akan lakukan perkara yang sama untuk menentang mereka.
“Ada beberapa perkara yang perlu dilihat (kelemahan) seperti penyudah dan juga ketika bertahan. Kita perlu perbaikinya,” katanya.
Mengenai aksi menentang Thailand di Stadium Gongshu Canal Sports Park, kelmarin, secara keseluruhannya Nasihin mengakui dia berpuas hati dengan persembahan pemain pasukannya.
“Alhamdulillah, pemain berikan yang terbaik terutamanya pada awal permainan kita mencipta banyak peluang. Kita menjaringkan enam gol, jumlah yang agak besar.
“Pukulan sudut penalti pasukan dilakukan dengan baik apabila pemain dapat menterjemahkan kepada gol dan kita juga berjaya menghalang lawan mendapatkan gol ketika mereka diberikan pukulan sudut penalti,” katanya. – UTUSAN








