KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga yang melanda Faisal Halim tidak mengganggu kapten Selangor FC itu melakukan persiapan terbaik dalam kem Harimau Malaya, ketika ini.
Perkara itu diakui sendiri pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang melihat Faisal memberikan tumpuan penuh alam sesi latihan menjelang aksi berdepan Singapura, malam ini.
Skuad kebangsaan akan mengharungi dua aksi persahabatan bermula menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berdepan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.
Cklamovksi menegaskan pemain sayap lincah itu memiliki kekuatan mental yang kuat dan mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan ketika menyarung jersi Malaysia.
“Daripada perspektif bola sepak, ia bukanlah satu isu dan dia berada dalam keadaan yang terbaik. Ia adalah isu peribadi antara dia dan keluarganya tetapi kita sentiasa memberi sokongan padanya.
“Kami sentiasa bersamanya dan mendoakan yang terbaik untuknya. Saya tahu Mickey adalah inspirasi kepada negara dan saya percaya dia akan meneruskan perkara itu.
“Dia berlatih dengan sangat keras dan bersedia untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk negara,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan, semalam.
Terdahulu, media melaporkan isteri Faisal, Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor, kelmarin.
Dalam masa sama, Cklamovski memberi bayangan pemain kelahiran mengkuang Titi, Pulau Pinang itu berpeluang untuk diturunkan pada aksi menentang Singapura dan juga Palestin.
“Berdasarkan kepada apa yang ditunjukkan pada sesi latihan, sudah pastinya ada peluang untuk dia diturunkan.
“Saya akan membuat keputusan (kesebelasan utama) esok (malam ini) dan anda akan melihat barisan pemain itu nanti,” katanya. – UTUSAN










