KUALA LUMPUR: Faisal Halim menganggap kekalahan kepada Buriram United pada final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) sebagai pengalaman penting yang mampu mematangkan pasukan menjelang musim depan.
Tonggak Harimau Malaya itu percaya skuad Red Giants sudah menunjukkan kemampuan sebenar apabila berani menguasai permainan di hadapan ribuan penyokong lawan di Arena Chang.
Menurut Faisal, Selangor memulakan aksi final kedua dengan cukup baik apabila berjaya mengawal rentak permainan selain mencipta beberapa peluang berbahaya ke kubu Buriram.
“Selangor sudah cuba yang terbaik dan dalam 25 minit pertama kami menguasai permainan serta berjaya mencipta peluang sehingga memperoleh gol.
“Namun kami leka sehingga mereka berjaya mendapatkan gol dan selepas dibolosi agak sukar untuk kami mengejar semula momentum bagi mencari kemenangan,” katanya.
Selangor terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan jarak jauh Syahir Bashah sebelum Buriram bangkit menyamakan kedudukan menerusi Suphanat Mueanta.
Kelab Thailand itu kemudian memastikan kemenangan 2-1 menerusi jaringan Theerathon Bunmathan sekali gus mempertahankan trofi dengan agregat 3-1.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon terlepas peluang muncul juara ACC buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Meskipun pulang tanpa trofi, Faisal tetap melihat perjalanan Selangor hingga ke pentas final sebagai petanda positif bahawa pasukan itu semakin mampu bersaing dengan kelab elit Asia Tenggara.
Pemain berusia 27 tahun itu juga percaya pengalaman beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti final ACC akan membantu Selangor tampil lebih matang dan konsisten pada musim akan datang. – UTUSAN










