PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya mendapat khabar gembira apabila dua tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim dan Matthew Davies menunjukkan perkembangan positif menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Selasa ini.
Keadaan itu pastinya memberi kelegaan kepada pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski selepas kedua-dua pemain itu sebelum ini dilaporkan masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan lutut dan pangkal paha, serta berkemungkinan tidak dapat diturunkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Menurut Cklamovski, kedua-dua pemain itu kini menunjukkan perkembangan positif dan sedang meningkatkan tahap latihan sebelum menyertai sesi penuh bersama pasukan.
Jelasnya, proses latihan kedua-dua pemain dijalankan secara berperingkat, dengan pasukan perubatan dan prestasi tinggi memantau perkembangan mereka hari demi hari menjelang aksi menentang Nepal.
“Bagus apabila Davies dapat kembali dalam skuad. Dia seorang pemimpin yang hebat untuk pasukan. Melihat dia kembali bersama pasukan memang sesuatu yang menggembirakan.
“Faisal juga menunjukkan peningkatan setiap hari dan dijangka menyertai latihan penuh pada fasa akhir persiapan.
“Mentaliti serta keadaan keseluruhan pasukan berada pada tahap baik untuk perlawanan ini,” kata pengendali dari Australia itu.
Harimau Malaya berhasrat mengekalkan momentum cemerlang selepas merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan sebelum ini, sekali gus mengungguli Kumpulan F dengan 12 mata dan masih belum tewas pada tahun ini. – UTUSAN










