FAM perlu selesaikan pelantikan jurulatih tetap

FAM perlu selesaikan pelantikan jurulatih tetap

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menyelesaikan terlebih dahulu urusan pelantikan jurulatih tetap Harimau Malaya sebelum memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kedudukan ranking dunia.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, kejelasan mengenai kedudukan ketua jurulatih amat penting bagi memastikan perancangan pasukan kebangsaan dapat dilaksanakan secara teratur.

Ketika ini kata Zulakbal, skuad kebangsaan memerlukan seorang jurulatih berkaliber serta mempunyai perancangan taktikal yang baik untuk membina keserasian antara pemain tempatan, warisan dan pemain naturalisasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, usaha mengumpulkan pemain berkualiti ketika ini merupakan langkah yang bersungguh-sungguh, namun proses membentuk sebuah pasukan yang mantap tidak boleh berlaku tanpa perancangan rapi ketua jurulatih.

“Sekarang kita nak bercakap pasal kenaikan ranking, baiki kedudukan dalam balang undian (Piala Dunia 2030/Piala Asia 2031), kena fikir apa yang penting dahulu iaitu pelantikan jurulatih tetap atau siapa bakal kemudi Harimau Malaya.

“Usaha kita mengumpulkan pemain warisan dan naturalisasi adalah usaha yang bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, pemain yang berkualiti memerlukan masa untuk membentuk keserasian dan taktikal jurulatih baharu.

“Jadi, saya fikir perkara ini mustahak untuk FAM selesaikan terlebih dahulu. Sama ada berikan mandat kepada Tan Cheng Hoe atau mencari jurulatih baharu. Perkara ini perlu diselesaikan dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Zulakbal, keputusan sama ada mengekalkan Cheng Hoe atau melantik jurulatih baharu perlu dibuat dengan teliti kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan persiapan dan pembentukan identiti permainan Harimau Malaya.

Sekiranya Cheng Hoe dikekalkan katanya, pemain boleh meneruskan proses membiasakan diri dengan kaedah latihan, pendekatan dan taktikal yang sudah diterapkan oleh jurulatih itu semasa mengendalikan pasukan sebelum ini.

“Kalau kita kekalkan Cheng Hoe, pemain akan mula biasa dengan kaedah dan taktikalnya. Tetapi kalau kita memilih jurulatih baharu, pemain perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada kemampuan individu pemain, sebaliknya turut ditentukan oleh sejauh mana mereka mampu berfungsi sebagai satu unit yang tersusun.

Sebagai contoh, Zulakbal merujuk kepada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 yang disertai Harimau Malaya sebagai gambaran bahawa memiliki pemain berkualiti sahaja belum mencukupi untuk menjamin kejayaan pasukan.

“Pemain kita mungkin sudah baik, tetapi kita masih belum menjadi juara. Ini menunjukkan ada sesuatu yang perlu diperbaiki jika kita mahu menjadi raja ASEAN. Keserasian dalam pasukan masih belum cukup mendalam dan perkara itu memerlukan masa untuk dibentuk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan FAM perlu memperjelas hala tuju pengurusan pasukan kebangsaan, termasuk status pelantikan ketua jurulatih tetap dan struktur sokongan yang akan digunakan bagi membantu Harimau Malaya mencapai sasaran ditetapkan.

“Perkara ini mesti diselesaikan. Kita perlu tahu siapa yang akan memimpin pasukan dan apakah perancangan yang mahu dilaksanakan. Apabila ketua jurulatih sudah diputuskan, barulah persiapan dapat disusun dengan lebih jelas dan pemain boleh memberikan tumpuan kepada sistem permainan yang hendak dibentuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini