Kerajaan Israel 'restu' tindakan seksa tahanan Palestin

Kerajaan Israel ‘restu’ tindakan seksa tahanan Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Sebuah pertubuhan hak asasi manusia Israel mendakwa kerajaan negara itu membenarkan penyeksaan terhadap tahanan Palestin dilakukan secara meluas, selain gagal mengambil tindakan bagi membendung amalan berkenaan.

Jawatankuasa Menentang Penyeksaan di Israel dalam laporan yang diperoleh agensi berita Anadolu semalam berkata, amalan itu turut menjejaskan keseluruhan sistem kehakiman negara berkenaan.

Menurut laporan itu, kenyataan yang diperoleh menerusi penyeksaan ketika soal siasat digunakan dalam proses siasatan polis, pendakwaan dan prosiding mahkamah, selain dimasukkan ke dalam rekod kes tahanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan berkenaan bukan sahaja mempengaruhi keputusan hakim, malah dijadikan asas untuk mensabitkan kesalahan terhadap rakyat Palestin.

Jawatankuasa itu turut mendakwa sistem penguatkuasaan undang-undang Israel tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencegah penyeksaan, manakala hakim, peguam dan pegawai kanan didakwa mengabaikan bukti penderaan walaupun tanda-tandanya jelas.

Malah, laporan itu menyatakan terdapat pihak berkuasa yang membenarkan amalan berkenaan diteruskan.

Menurut jawatankuasa itu, hakim pernah melihat kesan lebam pada tubuh tahanan serta mendengar aduan mengenai keganasan yang dialami mereka, namun tidak mengambil tindakan berkesan untuk menghentikan atau menyiasat kejadian tersebut.

Keadaan itu menimbulkan persoalan apabila hakim kemudiannya diminta membuat keputusan berdasarkan bukti yang diperoleh menerusi sesi soal siasat berkenaan.

Laporan bertajuk ‘Tercemar oleh Penyeksaan: Tahanan Palestin dalam Sistem Kehakiman Israel’ itu meneliti 42 aduan yang dibantu oleh jawatankuasa berkenaan sepanjang tempoh 10 tahun lalu.

Aduan tersebut melibatkan pelbagai bentuk penderaan, termasuk tahanan dinafikan tidur untuk tempoh panjang, dipaksa berada dalam posisi tubuh yang menyakitkan serta dikenakan keganasan fizikal serius.

Jawatankuasa itu memberi amaran bahawa usaha Israel melaksanakan hukuman mati buat kali pertama sejak 1962 boleh menjejaskan nasib rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan berdasarkan pengakuan diperoleh menerusi penyeksaan, tanpa mengira sama ada pengakuan itu benar atau sebaliknya.

Menurut jawatankuasa itu, hukuman mati mencabuli hak seseorang untuk hidup dan tidak boleh ditarik balik, sekali gus meningkatkan risiko sekiranya dilaksanakan dalam sistem kehakiman yang menerima pengakuan diperoleh melalui penyeksaan.

30 Mac lalu, Parlimen Israel (Knesset) meluluskan undang-undang yang membolehkan tahanan Palestin dikenakan hukuman mati, sebelum ia berkuat kuasa di Tebing Barat yang diduduki pada Mei lalu.

Undang-undang itu memperuntukkan hukuman gantung terhadap rakyat Palestin yang disabitkan oleh mahkamah tentera atas kesalahan membunuh rakyat Israel dengan sengaja dalam serangan yang diklasifikasikan Israel sebagai ‘tindakan pengganas’.

Ia turut membolehkan hukuman mati dijatuhkan menerusi keputusan majoriti hakim tanpa perlu mendapat permohonan daripada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, prosedur undang-undang sama tidak terpakai terhadap penduduk Israel yang menetap di wilayah diduduki.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini