Menghias kediaman bukan sekadar soal mencantikkan ruang atau mengikuti trend dekorasi semasa, sebaliknya perlu mengambil kira keselesaan dan keperluan seluruh ahli keluarga, terutama apabila mempunyai anak kecil.
Bagi Nur Amirah Asyiqin Ahmad, 30, kediaman yang menarik bukan sahaja perlu sedap dipandang, malah praktikal, mudah diurus dan sesuai dengan rutin harian keluarga.
Justeru, setiap pemilihan perabot dan hiasan di rumahnya dibuat dengan mempertimbangkan faktor penggunaan, kebersihan serta kemudahan penyelenggaraan.
Antara pendekatan yang diberi perhatian ialah pemilihan perabot berwarna hitam atau rona gelap kerana tidak mudah menampakkan kotoran, sekali gus memudahkan urusan membersihkan kediaman.
“Banyak perabot saya pilih warna hitam atau warna gelap supaya tidak cepat kotor kerana saya ada anak kecil,” katanya kepada Seri.

Menurutnya, dia tidak menetapkan konsep dekorasi tertentu kerana lebih selesa menghias kediaman mengikut cita rasa sendiri, asalkan setiap ruang memenuhi keperluan keluarga.
Malah, dia turut mengutamakan susun atur perabot yang praktikal supaya pergerakan di dalam rumah lebih selesa dan tidak mengganggu urusan harian.
Ruang dapur misalnya, diberikan perhatian khusus kerana menjadi antara kawasan yang paling kerap digunakan.
Susunan kabinet dan kelengkapan dapur dibuat berdasarkan kemudahan mencapai barangan ketika memasak, sekali gus memastikan ruang berkenaan sentiasa teratur.
Dalam masa sama, Amirah turut memilih pendekatan projek buat sendiri (DIY) bagi menghasilkan kelengkapan rumah yang bersesuaian dengan cita rasa dan kemampuan kewangan.
Antara yang paling istimewa ialah kabinet televisyen yang dihasilkan bersama suaminya, sekali gus menjadi projek DIY pertama mereka sepanjang menghias kediaman.
Walaupun terdapat pelbagai pilihan kabinet televisyen di pasaran, Amirah lebih tertarik menghasilkan sendiri perabot itu kerana mahu memberikan sentuhan peribadi pada ruang keluarga.
Proses menyiapkannya bagaimanapun bukan mudah apabila masing-masing mempunyai idea dan pandangan tersendiri.
“Memang banyak juga berlawan pandangan sebab masing-masing mahu mencurahkan idea, tetapi apabila melihat hasilnya, rasa macam tidak percaya apa yang ada di depan mata itu sebenarnya hasil tangan sendiri,” katanya.
Menariknya, proses menghias kediaman mereka mengambil masa hampir tiga tahun kerana dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan.
Menurut Amirah, faktor bajet menjadi antara cabaran utama kerana dia tidak mahu memaksa diri melakukan perubahan dekorasi sekiranya belum mempunyai peruntukan mencukupi.
Justeru, setiap penambahbaikan dirancang mengikut keperluan tanpa perlu tergesa-gesa mendapatkan semua kelengkapan dalam satu masa.
Daripada segi pencahayaan semula jadi, kediamannya turut menerima kelebihan apabila tiada rumah yang berhadapan secara langsung, sekali gus membolehkan cahaya matahari memasuki ruang dalaman dengan lebih baik.
Bagi Amirah, menghias kediaman tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar atau perlu mengikut gaya dekorasi yang sedang popular.
Sebaliknya, pemilik rumah perlu bijak memilih perabot, merancang susun atur dan mengutamakan keperluan keluarga supaya kediaman bukan sahaja cantik, malah selesa untuk didiami.
Baginya, rumah yang baik bukan sekadar mempamerkan dekorasi menarik, tetapi mampu menjadi ruang yang memenuhi keperluan setiap anggota keluarga, termasuk anak kecil yang sedang membesar.-UTUSAN











