PETALING JAYA: Kejayaan membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya menjadi detik cukup bermakna buat pemain warisan negara, Richard Chin.
Pemain kelab Ross County di Scotland itu juga menganggap peluang beraksi dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan sebagai satu penghormatan besar.
Pemain berusia 24 tahun itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas berjaya meledak dua gol ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di China, 17 November lalu.
Walaupun terpaksa menanti lama untuk mendapatkan tempat di kesebelasan utama, kesabarannya nyata terbalas dan kekal konsisten apabila terus meledak di peringkat kelab ketika Ross County menang 5-1 ke atas Cove Rangers, Sabtu lalu.
“Perasaan yang cukup hebat apabila dapat menjaringkan gol pertama saya untuk Malaysia. Tiada perasaan yang lebih baik, terutama apabila mengenangkan perjalanan yang membawa saya sehingga ke tahap ini.
“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih kerana memberikan peluang untuk saya bermula dalam kesebelasan utama serta rakan sepasukan yang membantu saya sepanjang perlawanan,” katanya.
Pada aksi menentang Cove Rangers sebelum ini, Chin dimasukkan pada minit ke-68 bagi menggantikan Luke McCarvel dan hanya memerlukan 16 minit untuk menghasilkan jaringan ketiga Ross County.
Aksi konsisten yang dipamerkan Chin ini menghadirkan perkembangan positif buat Harimau Malaya namun harus kekal bekerja lebih keras bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan untuk mengharungi tugasan antarabangsa, tahun depan. – UTUSAN











