PETALING JAYA: Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid percaya sentuhan jurulatih baharu cukup penting bagi membantu Harimau Malaya tampil lebih cemerlang pada tahun hadapan.
Bintang Kuching City itu berkata, ketua jurulatih juga bertanggungjawab untuk membawa Malaysia melangkah lebih jauh dalam apa jua kejohanan yang disertai di pentas antarabangsa.
Pada tahun hadapan, skuad kebangsaan berdepan tgas agak mencabar kerana perlu mengharungi kempen Piala Dunia 2030 selain menggalas misi untuk layak ke Piala Asia 2032.
“Selamat berjaya dan lakukan yang terbaik (untuk jurulatih baharu). Buat pasukan lebih kuat untuk mana-mana pemain yang terima panggilan untuk membuatkan pasukan boleh pergi jauh,” katanya seperti dipetik laporan televisyen tempatan.
Safawi turut menegaskan bahawa beliau sedia menyahut panggilan kem negara sekiranya khidmatnya diperlukan. Ini kerana bagi setiap pemain, menyarung jersi Harimau Malaya ialah satu penghormatan.
“Macam saya cakap di media sosial, hitam kuning kebanggaan saya tak kira apa pun. Sebab saya tak pernah tolak atau apa-apa melibatkan skuad kebangsaan. Jadi untuk panggilan kem seterusnya, sudah tentu saya nak,” ujarnya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengumumkan jurulatih baharu yang akan mengisi kerusi panas Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Bekas jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak antara calon jurulatih yang disebut-sebut sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Australia, Peter Cklamovski. – UTUSAN











